KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Padang Besar daripada Barisan Nasional, Datuk Zahidi Zainul Abidin sekali lagi menggesa kerajaan membenarkan penanaman ketum secara komersial kerana tanaman itu mampu menjana pendapatan berbilion ringgit kepada negara.
Beliau yang juga ketua Umno Bahagian Padang Pesar dan pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) berkata, luar negara menggunakan ketum untuk memulihkan penagih dadah.
“Syarikat farmasi di Eropah dan Amerika Syarikat, agensi dadah kebangsaan mereka panggil ‘go green’. Mereka guna rawatan guna herba (ketum) untuk mengubat penagih dadah berbanding menggunakan bahan kimia.
“Di Malaysia, permintaan ketum ini cukup banyak dan berpeluang menjadi ‘billionaire’ dan kita lihat di Indonesia, ramai dah jadi ‘billionaire’.
“Sekarang ini kita minta benarkan daun ketum hantar keluar negara, bukannya nak suruh minum ketum,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau turut meminta pihak berkuasa menggunakan cara lain bagi memulihkan penagih dadah.
“Kita minta ADDK (Agensi Antidadah Kebangsaan) jangan tangkap, sekarang ini kita lihat mudah saja kerja, siapa minum ketum tangkap, masuk lokap.
“Mereka ini anak muda, aset negara, kita minta kerajaan jangan guna undang-undang. Kita minta kerajaan guna pendekatan lain, contohnya pendekatan agama, beri motivasi untuk memberi kesedaran kepada mereka dan kalau boleh dengan keuntungan yang kita dapat melalui ketum ini, kita beri khusus kepada mereka bagi motivasi.”
Akhir Disember lalu, Zahidi dilaporkan berkata, Malaysia dianggarkan mengalami kerugian lebih RM100 juta setahun kerana melarang penanaman ketum secara komersial.
Katanya, Indonesia menjana ratusan juta setahun hasil daripada pengeksportan ketum dan jika Putrajaya meluluskan penanaman ketum secara komersial, kutipan cukai tahunan negara akan meningkat.
“Malah, terkini pasaran Eropah begitu meminati daun ketum yang dihasilkan oleh negeri di utara tanah air seperti Perak, Kedah dan Perlis kerana mempunyai kualiti yang terbaik.” #sumber