Pelbagai Projek Di Laksana, Walau Pun "Parlimen Kuantan" Di Kuasai Pembangkang kabarmalay3.blogspot.com


KUANTAN: Kerajaan tidak pernah meminggirkan Kuantan walaupun kawasan itu berada di bawah pembangkang sejak dua penggal yang lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, pelbagai projek pembangunan dilaksanakan di Kuantan termasuk projek perumahan PR1MA dan Jambatan Kedua di Tanjung Lumpur.

Menurutnya, rakyat Kuantan seharusnya bijak menilai dan membuat pilihan tepat pada PRU 14 nanti. “Apa yang pembangkang bagi dan lakukan di Kuantan sejak mereka dapat Kuantan ?

“Mereka hanya menakut-nakutkan rakyat Kuantan dengan isu kilang Lynas pada PRU13 yang lalu,”katanya ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat dan Pelancaran Jentera PRU Parlimen Kuantan, di Padang Kemunting, hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri, Datuk Seri Adnan Yaakob , Presiden MCA , Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Ketua Umno Bahagian Kuantan, Datuk Seri Wan Adnan Wan Mamat.

Najib yang juga Presiden BN berkata, rakyat harus sedar dengan permainan pembangkang yang sering menimbulkan sentimen kebencian terhadap kerajaan.

Bagaimanapun, selepas pelbagai tohmahan, kerajaan masih tetap menyalurkan bantuan kepada rakyat di Kuantan.

“Jadi, untuk PRU14 nanti, saya mahu rakyat Kuantan tebus semula kekalahan sebelum ini dengan memilih BN untuk menerajui Kuantan.

“Saya yakin, lebih banyak limpahan ekonomi dapat dinikmati di Kuantan selepas ini,” katanya.

Dalam pada itu, Najib mahu semua pihak memberikan kepercayaan kepadanya untuk membuat keputusan (mengenai calon).

Beliau berkata, keputusan dibuat selepas berunding dengan menteri besar, pengerusi BN dan pengerusi parti komponen.

“Dalam soal  ini, kita perlu kembali kepada prinsip asas BN yang menjadi perpaduan sebagai perkara utama tanpa meminggirkan kaum Cina dan India,” katanya.

Pada program itu, Najib turut melancarkan Jualan Sentuhan Rakyat Parlimen Kuantan dan melepaskan konvoi bermotosikal jentera BN Kuantan.

Terdahulu, Najib mengadakan perjumpaan tertutup bersama pimpinan BN Negeri di Hotel Zenith. #sumber

Subscribe to receive free email updates: