Hadiah PM, "Umumkan" Bantuan Dan Projek Infrastruktur Di Paya Besar kabarmalay3.blogspot.com


KUANTAN: Pengumuman bantuan dan projek infrastruktur di Paya Besar oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak  malam kelmarin dianggap sebagai hadiah untuk penduduk yang menyokong penuh kerajaan hari ini.

Najib mengumumkan 'hadiah' itu semasa berucap pada Majlis Ramah Mesra di Parlimen Paya Besar di Padang Awam Felda Lepar Hilir 1, malam kelmarin.

Pemangku Ketua Bahagian Paya Besar yang juga ADUN Sungai Lembing, Datuk Md Sohaimi Mohamed Shah berkata, ia adalah tanda prihatin Perdana Menteri kepada rakyat.

Menurutnya, sebagai pemimpin tempatan, beliau amat terharu dengan pengumuman dibuat Najib pada majlis itu.

“Ia adalah kejutan buat kami di Paya Besar dan saya berharap ia akan menguatkan lagi sokongan masyarakat di sini.

“Apatah lagi menjelang PRU 14 tidak lama lagi,” katanya kepada Sinar Harian.

Md Sohaimi berkata, pembesaran jalan masuk di Felda Lepar Hilir 1 dan perumahan generasi kedua Felda antara keperluan yang diperlukan penduduk.

Justeru itu katanya, generasi kedua Felda harus menyatakan sokongan padu kepada kerajaan yang sentiasa mengambil kira kebajikan mereka.

Pada majlis itu, Najib mengumumkan insentif kepada peneroka Felda sekitar Paya Besar iaitu skim khas tanam semula Felda kepada 157 peneroka melibatkan peruntukan sebanyak RM631,821 dan pembayaran insentif sifar hutang kepada 567 peneroka yang berjumlah RM2.85 juta.

Selain itu, 362 peneroka yang kembali bermuafakat dengan Felda melibatkan bayaran insentif sebanyak RM1.81 juta.

Najib juga mengumumkan bahawa Felda kini dalam penelitian akhir untuk mengagihkan lot tanah kepada generasi kedua dan ketiga bagi membolehkan mereka mendirikan rumah di tanah milik ibu bapa mereka.

Di samping itu, Najib turut mengumumkan kelulusan peruntukan sebanyak RM4 juta untuk pembinaan masjid Lepar Hilir, pemasangan lampu jalan di laluan masuk Felda Bukit Sagu (RM2 juta) dan pembesaran laluan masuk ke Felda Hilir Lepar 1 melalui Pulau Manis yang dianggap jalan maut (RM4 juta) serta pemasangan lampu jalan ke Felda Panching. #sumber

Subscribe to receive free email updates: