Tun M Terjah Taklimat RUU Antiberita Tidak Benar, Kecewa Pegawai GAGAL Jawab kabarmalay3.blogspot.com

KUALA LUMPUR: Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad yang masuk tanpa diundang ke sesi taklimat rang undang-undang Antiberita Tidak Benar 2018 hari ini menghentam para pegawai Jabatan Peguam Negara kerana tidak boleh menjawab soalan mengenai undang-undang itu.
Beliau berkata itu menunjukkan mereka tidak faham rang undang-undang itu.
“Saya dengar penjelasan daripada pegawai mereka dan daripada situ banyak soalan yang ditimbulkan tidak boleh dijawab.
“Mereka tidak boleh beritahu undang-undang sedia ada mana yang tidak menyentuh perkara dalam rang undang-undang itu.
“Nampak sangat mereka keliru dan tidak tahu tujuan memperkenalkan RUU Antiberita Tidak Benar, selain daripada menjadi alat politik.
“Mereka mencadangkan satu rang undang-undang yang menyentuh perkara yang sudah disentuh oleh undang-undang sedia ada, seperti Akta Hasutan.
RUU baharu ini dicadangkan untuk memberi kuasa kepada kerajaan menahan pengkritik,” katanya selepas taklimat di Parlimen hari ini.
Dr Mahathir berkata terdapat kejadian di mana pemimpin Barisan Nasional (BN) didapati menyebarkan berita palsu dan adakah tindakan akan diambil terhadap mereka.
Beliau berkata terdapat juga kejadian di mana pemimpin BN membuat kenyataan yang bercanggah dengan laporan berita.
“Adakah ini dianggap berita palsu? Bolehkan peguam negara membawa kes terhadap perdana menteri? Sudah tentu tidak.
“Jadi tujuan undang-undang ini untuk menghalang pembangkang menyuarakan pandangan atau mengkritik kerajaan.”
Dr Mahathir berkata tiada sebab untuk menyegerakan perlaksanaan undang-undang itu.
“Kita tidak perlu segerakan undang-undang itu kerana ia sangat serius dan ada banyak bantahan, termasuk daripada Badan Peguam.
“Kita perlu bahaskan undang-undang itu pada sidang Parlimen akan datang, selepas pilihan raya umum ke-14.
“Undang-undang ini bertujuan politik dan bukan untuk menjaga keselamatan orang ramai atau hak rakyat.”
Bawah RUU itu, kesalahan mencipta, menawarkan, menerbitkan, mengedarkan atau menyebarkan berita palsu boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya.
Memberi bantuan kewangan secara langsung atau tidak langsung untuk memudahkan penyebaran berita palsu atau membantu kesalahan itu juga satu kesalahan.
Bawah RUU itu, berita palsu dijelaskan sebagai “sebarang berita, maklumat, data atau laporan, yang sebahagian atau sepenuhnya palsu, sama ada disiarkan dalam bentuk rencana, visual, rakaman audio atau apa-apa bentuk lain, yang boleh mencadangkan kata-kata atau idea. - FMT

Subscribe to receive free email updates: