Azmin: "Persempadanan Semula" SPR Jejaskan Keharmonian Kaum ! kabarmalay3.blogspot.com


KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden KEADILAN Datuk Seri Mohamad Azmin Ali mendakwa persempadanan semula kawasan pilihan raya yang dicadangkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjejaskan keharmonian kaum.

Mengulas laporan tersebut yang masih dikenakan larangan siaran sehingga Rabu depan, Azmin berkata SPR cuba mencorakkan daerah mengundi berdasarkan garis perkauman.

“Perkara ini secara langsung menjejaskan keharmonian antara kaum yang menjadi sebahagian daripada identiti Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Isi kandungan laporan itu dilarang untuk disiarkan oleh Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia walaupun salinannya sudah diserahkan kepada anggota Parlimen.

Azmin berkata keputusan itu menafikan hak rakyat Malaysia mendapat maklumat mengenai daerah mengundi mereka.

“Keputusan speaker untuk embargo laporan SPR berhubung persempadanan semula di semenanjung Malaysia adalah pengkhianatan yang cukup teruk ke atas jutaan rakyat Malaysia dan demokrasi berparlimen.

“Selaku ahli Parlimen, pengundi saya dan semua pengundi di Malaysia mempunyai hak untuk mengetahui jika daerah mengundi sudah bertukar kerana ia akan mendatangkan kesan kepada identiti dan hala tuju politik.

“Maka, perkara berkenaan adalah pencabulan hak mereka yang dijamin perlembagaan,” kata Menteri Besar Selangor itu.

Sementara itu, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menyifatkan larangan siaran itu sebagai “pengkhianatan kepada demokrasi parlimen”.

Beliau juga kesal SPR gagal mematuhi cadangan yang dikemukakan oleh kerajaan negeri.

“Saya tidak boleh mendedahkan apa-apa sekarang kerana laporan itu telah diembargo. Saya tidak pergi ke Parlimen semalam kerana saya terpaksa menghadiri mesyuarat exco kerajaan negeri.

“Di sesetengah negeri, SPR tidak mengikuti saranan sama sekali,” kata Lim pada sidang akhbar hari ini. #sumber

Subscribe to receive free email updates: