PPBM "Tidak Dapat" Kemukakan Laporan Minit Mesyuarat Kepada RoS kabarmalay3.blogspot.com


MUAR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) tidak akan dapat mengemukakan laporan minit mesyuarat bahagian dan cawangannya menjelang berakhir tempoh 30 hari diberikan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS), kata Presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata laporan minit mesyuarat bahagian tidak dapat dikemukakan parti itu kerana bahagiannya baru diluluskan penubuhannya oleh RoS pada Julai tahun lepas dan tiada pertubuhan membuat mesyuarat agung dalam tempoh kurang setahun penubuhannya.

Bagi laporan minit mesyuarat cawangan pula, katanya pada masa ini parti itu masih dalam proses menubuhkan cawangannya serta mendapatkan kelulusan penubuhan daripada RoS, justeru tiada mesyuarat cawangan dapat dibuat.

"Yang lain tidak ada masalah jadi biar kita selesaikan dulu dan lepas itu kita tengok keputusan mereka (RoS) buat," katanya pada sidang akhbar di Pagoh di sini.

RoS mengeluarkan notis kepada PPBM berkuat kuasa 28 Feb lepas yang antara lain memerlukan parti itu menjawab dan menyerahkan maklumat serta dokumen berkaitan minit mesyuarat cawangan, bahagian dan pusat serta perihal penyata kewangan parti dalam tempoh 30 hari, atau berdepan risiko dibubarkan. #sumber

Subscribe to receive free email updates: