Duit RM1 Juta Dalam Akaun Bank Australia Milik Pegawai Polis Bukit Aman Di Bekukan kabarmalay3.blogspot.com


PETALING JAYA: Pihak berkuasa Australia membekukan satu akaun bank yang mempunyai hampir RM1 juta milik seorang pegawai polis kanan Malaysia, lapor Sydney Morning Herald (SMH) hari ini.

Menurut laporan itu, Polis Persekutuan Australia (AFP) mengesyaki “kemasukan wang tunai mencurigakan” dalam akaun “Goal Saver” Bank Commonwealth milik Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd yang tidak aktif selepas dibuka pada 2011.

“Tiada ada sebab jelas mengenai bentuk dan cara deposit,” kata seorang pegawai polis Australia dalam satu afidavit permohonan pembekuan akaun itu yang dilihat SMH.

Menurut laporan itu, kemasukan wang di bawah A$10,000 bermula seminggu selepas Najmuddin melawat Australia pada 2016.

Pendeposit tidak diketahui mengunjungi cawangan dan mesin juruwang automatik (ATM) di seluruh negara itu, dari Biloela di Queensland ke Devonport di utara Tasmania dan Lakemba di barat Sydney serta pusat perniagaan Melbourne.

Polis Malaysia membersihkan nama Najmuddin melalui satu siasatan dalaman selepas dimaklumkan AFP.

Najmuddin ketika dihubungi enggan mengulas dan berkata, perkara itu perlu dirujuk kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

“IGP (ketua polis negara) tahu kes itu,” kata Najmuddin dalam jawapan ringkas sambil menambah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman sudah menjalankan siasatan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, laporan SMH itu berdasarkan “cerita lama”.

“Ini ialah cerita lama dan saya difahamkan kami sudah menjalankan siasatan dalaman. Tiada salah laku ditemui. Ia disiasat 2 tahun lalu.”

SMH melaporkan baki akaun Najmuddin bertambah hampir A$290,000 kepada A$320,000 (RM972,000) dalam tempoh sebulan, menyebabkan pihak berkuasa mengesyaki wang itu adalah hasil kegiatan jenayah atau pengubahan wang haram.

Najmuddin ketika dihubungi SMH berkata, beliau meminta seorang “kawan rapatnya di Malaysia” memindahkan wang itu untuk membayar yuran pengajian ijazah sarjana anak perempuannya.

“Saya sudah beri penjelasan saya. Jabatan saya menulis surat kepada AFP.”

Najmuddin sebelum ini ialah ketua polis Johor sebelum dilantik mengetuai Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Ogos lalu.#sumber

Subscribe to receive free email updates: