Zahid: Putrajaya Masih "Mengkaji" Cara Untuk Bawa Pulang Sirul Dari Australia kabarmalay3.blogspot.com


KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata kerajaan masih mengkaji kaedah terbaik untuk membawa pulang Sirul Azhar Umar, disabitkan kesalahan membunuh, dari Australia.

Beliau berkata, isu itu perlu ditangani dengan berhati-hati kerana melibatkan undang-undang dan dasar negara lain, dan Putrajaya belum berpeluang membincangkan perkara itu dengan kerajaan Australia.

“Menurut perjanjian ekstradisi, dokumen permohonan perlu menyatakan kesalahan dan hukuman yang akan dilaksanakan mengikut undang-undang yang berkuatkuasa sekiranya penjenayah buruan tersebut bersalah.”

Zahid menjawab Ramkarpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) yang bertanya sama ada kerajaan berhasrat untuk mengekstradisi bekas komando polis itu selepas kementerian pada Mac 2015 berkata akan memulakan rundingan dengan kerajaan Australia.

Dalam kes Sirul, Mahkamah Persekutuan mendapati dia dan seorang lagi bekas inspektor polis, Azilah Hadri, bersalah atas tuduhan membunuh warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu pada 2006 dan mereka dijatuhi hukuman mati.

Sirul melarikan diri ke Australia sebelum Mahkamah Persekutuan membuat keputusan. Undang-undang negara itu melarang pihak berkuasa memulangkan seseorang ke negara lain untuk berdepan hukuman mati.

Altantuya, 28, seorang penterjemah dan ibu kepada 2 anak dibunuh pada Oktober 2006.

Beliau dikatakan ditembak 2 kali di kepala, sebelum dibalut dengan bahan letupan gred tentera dan diletupkan di hutan di pinggir Kuala Lumpur. Motif pembunuhan masih belum diketahui. #sumber

Subscribe to receive free email updates: