KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini berkata polis tidak memusnahkan kubur beramai-ramai di Wang Kelian, Perlis.
KDN berkata semua kubur yang dijumpai digali polis forensik dan semua rangka manusia dihantar ke hospital untuk pemeriksaan patologi oleh pakar bedah siasat.
“Polis tidak mempunyai sebarang bukti yang menunjukkan ada pegawai polis terlibat dalam kes ini,” kata kementerian dalam jawapan bertulis bertarikh 6 Mac di Dewan Rakyat.
Sebelum itu, Charles Santiago (DAP-Klang) meminta KDN menjelaskan laporan media mendakwa polis mengarahkan 130 kubur mangsa pemerdagangan manusia dimusnahkan dan apakah tindakan kerajaan terhadap anggota dan sindiket terlibat.
KDN berkata polis mengenal pasti 10 warga Thailand dan seorang warga Bangladesh dalam aktiviti penyeludupan manusia itu, serta KDN dan Jabatan Peguam Negara melaksanakan proses penghantaran semua individu terlibat ke Malaysia.
“Namun masih tiada sebarang perkembangan lanjut daripada kedua-dua negara,” kata kementerian.
Pada 20 Disember lalu, NST melaporkan hasil siasatan 2 tahun sepasukan wartawan mereka mendapati pihak berkuasa cuba menangguhkan pengumuman tentang penemuan kubur beramai-ramai selama kira-kira 4 bulan.
Penemuan kubur itu diumumkan oleh ketua polis negara ketika itu, Tan Sri Khalid Abu Bakar, pada Mei 2015 tetapi NST mendakwa polis sebenarnya mengetahui kewujudkan kubur beramai-ramai itu seawal Januari 2015.
Akhbar itu juga mendakwa polis membersihkan kawasan di mana kubur ditemui sehingga membinasakan pelbagai bukti jenayah. #sumber