Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Othman Aziz, berkata BR1M ialah hadiah daripada kerajaan yang mampu memberi dan membantu mereka yang layak.
“Kalau dedak yang saya faham hanya untuk ayam, takkan nak samakan penerima BR1M dengan ayam, lembu,” katanya di Dewan Rakyat bagi menjawab soalan Datuk Abdul Latiff Ahmad (BN-Mersing) yang bertanyakan mengapa BR1M diberi dan adakah ia merupakan satu hadiah daripada kerajaan.
Pembangkang sebelum ini menyifatkan pemberian BR1M sebagai dedak, tetapi ia dinafikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Othman turut menafikan BR1M ialah satu bentuk rasuah kerana penerima tidak menawarkan sebarang bantuan untuk mendapat balasan.
“Rasuah kalau tolong saya macam ini, dapat macam ini, itu rasuah. Ini tak, ini dari kerajaan yang mampu beri,” tegasnya.
Beliau berkata, kerajaan sedar perlu mewujudkan satu skim bagi membantu golongan B40 bagi mengelakkan generasi akan datang mengalami kesusahan.
“Sebab itu skim ini bersifat sementara. Selain BR1M, kita bagi bantuan lain,” katanya. #sumber