Tertuduh Kes Kevin Morais Dakwa Ke KL Melancong, Bukan "Bunuh" ! kabarmalay3.blogspot.com


KUALA LUMPUR: Tertuduh ke-4 dalam kes pembunuhan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Anthony Kevin Morais memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini, dia datang ke Kuala Lumpur, 2 hari sebelum Kevin Morais dilaporkan hilang, adalah untuk melancong, bukan untuk membunuh lelaki itu.

A K Thinesh Kumar, 25, berkata dia dari Kedah ke Kuala Lumpur pada malam 2 September 2015, buat kali pertama ke ibu negara itu juga bertujuan menghantar datuk rakannya, S Nimalan, yang juga tertuduh ke-6 dalam kes itu.

“Saya datang membawa datuk Nimalan ke Kuala Lumpur dari Kedah untuk hantar dia naik ‘flight’ ke India.

“Ini kali pertama saya datang ke Kuala Lumpur dan saya ingin melancong di sekitar Kuala Lumpur. Ini adalah sebab kenapa saya datang ke Kuala Lumpur,” katanya yang memberitahu dia datang ke Kuala Lumpur bersama Nimalan, datuk Nimalan, tertuduh ketujuh, S.Ravi Chandaran dan tertuduh ke-5, M Vishwanath.

Thinesh Kumar merupakan saksi pembelaan ke-3 berkata demikian ketika pemeriksaan semula oleh peguam V Rajehgopal pada hari ke-5 prosiding membela diri.

Semasa pemeriksaan balas Timbalan Pendakwa Raya Saiful Edris Zainuddin, tertuduh berkata dia tidak mengetahui kenderaan jenis Mitsubishi Triton dinaikinya bersama Nimalan, Vishwanath dan tertuduh ketiga R Dinishwaran ketika dalam perjalanan ke hotel pada 4 September 2015 terlibat dalam perlanggaran dengan kenderaan Kevin Morais.

Thinesh Kumar bersetuju dengan cadangan Saiful Edris, hanya Nimalan dan Vishwanath mengetahui sepenuhnya mengenai perlanggaran itu kerana dia dan Dinishwaran tertidur sebaik sahaja masuk ke dalam kereta.

Lelaki itu juga bersetuju dengan cadangan dia mahu menuding jari ke arah Nimalan mengenai perlanggaran itu kerana Nimalan yang memandu kereta Triton berkenaan.

Kepada soalan Rajehgopal ketika pemeriksaan semula, Thinesh Kumar menjelaskan alasan bersetuju dengan cadangan Saiful Edris itu kerana tidak mengetahui apa-apa mengenai perlanggaran itu kerana sedang tidur dan mabuk.

“Kerana saya masa itu mabuk, minum arak dan tidak cukup tidur, saya mabuk teruk, saya tidak sedar. Sebab itu saya tidak tahu apa-apa. Nimalan dan Vishwanath minum arak sedikit sahaja, mereka sedar, sebab itu saya katakan hanya mereka sahaja tahu.

“Saya bukan nak selamatkan diri saya dan saya tolak (menuding) perkara ini kepada mereka,” katanya.

Dinishwaran, 26; Thinesh Kumar, 25; Vishwanath, 28; Nimalan, 25, Ravi Chandaran, 47, dan doktor tentera Kolonel Dr R Kunaseegaran, 55, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan membunuh Kevin Morais dalam perjalanan dari Jalan Dutamas 1, Sentul ke No 1 Jalan USJ 1/6D, Subang Jaya, antara 7.00 pagi dan 8.00 malam, 4 September 2015.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 anun sama, membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Perbicaraan hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah bersambung esok. #sumber

Subscribe to receive free email updates: