PETALING JAYA: PPBM Pahang menolak spekulasi Barisan Nasional (BN) berpeluang baik untuk mengekalkan kerusi Parlimen Paya Besar selepas kematian penyandang, Datuk Seri Abdul Manan Ismail.
Manan, yang menggalas tanggungjawab wakil rakyat Paya Besar pada pilihan raya umum ke-12, meninggal dunia di rumahnya di Taman Melawati, Kuala Lumpur 12 Februari lalu selepas terjatuh di bilik air. Beliau berusia 70 tahun.
Ketua Badan Pimpinan Pahang, Wan Mohd Shahrir Abdul Jalil bagaimanapun meragui BN akan peroleh faktor simpati daripada kematian Manan.
Shahrir berkata Manan berkhidmat dengan baik di Paya Besar dan sukar bagi BN mencari penggantinya.
“Siapa pun yang BN pilih untuk menggantikan Manan di Paya Besar, pengganti beliau mungkin tak sehebat beliau dan ketiadaan Manan sebenarnya memberi kelebihan kepada PPBM.
“Saya sudah lama menganggap Paya Besar sebagai kerusi boleh menang walaupun majoritinya 7,000 lebih,” katanya.
BN bertahan di Paya Besar sejak kawasan itu diwujudkan pada PRU 1995, apabila Tan Sri Siti Zaharah Sulaiman memenangi kerusi itu dengan 74% undi mengalahkan calon Semangat 46 Wan Abdul Rahman Wan Yusoff.
Manan mengambil alih kerusi tersebut daripada Siti Zaharah pada PRU12 selepas dia mengalami kecederaan serius dalam satu kemalangan pada 2005.
Manan berjaya mempertahankan kerusi itu untuk BN pada PRU12 dan PRU13, walaupun dengan majoriti lebih rendah pada PRU13. Ini mungkin kerana pertandingan 3 penjuru dengan penyertaan calon bebas, Zahari Mamat.
Ia merupakan kali pertama Paya Besar mengalami pertandingan 3 penjuru, dan Zahari tewas.
PPBM akan bertanding di Paya Besar pada PRU14. #sumber