PETALING JAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menafikan artikel akhbar United Kingdom, The Economist, yang mendakwa terdapat manipulasi terhadap sistem pilihan raya untuk membantu kemenangan Barisan Nasional pada pilihan raya umum ke-14.
SPR dalam kenyataan hari ini menegaskan semua sistem yang dijalankan seperti pendaftaran pemilih, penjalanan pilihan raya dan persempadanan semula adalah telus dan adil.
Menjawab dakwaan berkaitan persempadanan semula, Pengerusi Tan Sri Mohd Hashim Abdullah berkata artikel “How Malaysia’s Next Election Will Be Rigged” 8 Mac lepas mengelirukan kerana pengkritik melihat kesannya dalam konteks kepentingan politik kepartian semata-mata.
Hashim berkata formula perbandingan persempadanan tidak sama rata yang digunakan oleh pengkritik adalah mengelirukan kerana tidak wajar membandingkan bahagian Parlimen/DUN dalam kategori bandar dengan Parlimen/DUN dalam kategori luar bandar.
Beliau menjelaskan Parlimen/DUN luar bandar berkeluasan besar tetapi populasi kecil dan berselerak berbanding Parlimen/DUN bandar yang berkeluasan kecil tetapi kepadatan penduduk yang tinggi dan berkelompok.
Parlimen/DUN bandar juga terdapat lebih banyak kemudahan seperti sekolah dan dewan dan demikian terdapat perbezaan ketara antara 2 kategori itu.
“Sewajarnya perbandingan perlu dibuat antara kategori bandar dengan bandar atau luar bandar dengan luar bandar,” kata Hashim.
Menjawab dakwaan berkaitan sistem pendaftaran pemilih, SPR mengingatkan setiap pewartaan daftar pemilih mesti dipamerkan kepada umum bagi membolehkan pemeriksaan dan proses bantahan dan tuntutan dijalankan.
“Pendengaran awam juga dilaksanakan untuk membuktikan sesuatu permohonan itu sah atau sebaliknya. Semua proses itu mesti dilalui oleh SPR bagi pewartaan pemilih dan tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya,” kata Hashim.
Beliau menambah, dianggarkan terdapat lebih 200,000 orang ejen calon dan parti memantau hampir 30,000 saluran mengundi, sebagai ejen tempat mengundi (ETM), dan tempat pengiraan undi, sebagai ejen pengiraan undi (EPU).
Proses pengundian pos juga dibenarkan mengikut keperluan mereka yang termasuk dalam kategori tertentu yang telah ditetapkan.
“Permohonan bukannya secara automatik atau bukannya kepada semua anggota secara pukal,” kata Hashim.
SPR mengingatkan sejarah pilihan raya merakamkan isu seperti persempadanan semula bukan faktor penentu kepada kemenangan atau kekalahan mana-mana pihak, seperti yang dibuktikan di Selangor, Pulau Pinang, Perak, Kedah, Terengganu dan Kelantan sebelum ini.
“Walaupun masih mengguna pakai formula dan sistem persempadanan yang sama.” #sumber