Baginda mahu KP House yang dilaksanakan Universiti Malaysia Pahang (UMP) dijadikan pusat transformasi pengetahuan dan pendidikan dalam kalangan masyarakat sekali gus dijadikan model rujukan serta penanda aras oleh organisasi lain sama ada dari dalam atau luar negara.
“Jika pendekatan KP House dalam agenda Kuala Pahang Facelift 2.0 ini dapat direalisasikan dengan berkesan, saya percaya UMP boleh meneroka peluang baharu di seluruh negeri ini menggunakan pendekatan sama.
“Semua ini sudah pasti memerlukan komitmen tinggi daripada pihak Lembaga Pengarah dan pengurusan UMP bagi mengatur gerak bakat terpelajar dalam kalangan warga universiti ini sekali gus menjadi duta transformasi komuniti selari dengan slogan Memasyarakatkan Teknologi dan Universiti Komuniti,” titahnya.
Baginda bertitah demikian pada majlis Anugerah Cendekia Bitara 2017 UMP di sini malam ini. Yang berangkat sama Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. Yang turut hadir Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Datuk Seri Ibrahim Ahmad;
Naib Canselor UMP, Prof. Datuk Seri Dr. Daing Nasir Ibrahim dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyGiftUMP, Datuk Mohd. Nizar Najib.
Pada majlis berkenaan, seramai 94 pensyarah dan staf cemerlang dalam penyelidikan, penerbitan, pengajaran dan pembelajaran menerima anugerah serta pengiktirafan.
Majlis itu turut menampilkan satu lagi bentuk pengiktirafan iaitu Anugerah Akademik Universiti (AAU) yang diberikan kepada warga akademik UMP yang membuktikan ketokohan dan kewibawaan dalam lapangan pengajaran serta pembelajaran. #sumber