PASIR GUDANG - Kesemua parti komponen pakatan pembangkang akan menggunakan logo PKR pada PRU akan datang.
Perkara itu diumumkan oleh Pengerusi Pakatan Harapan (Harapan), Tun Dr Mahathir Mohamad di hadapan lebih 5,000 penyokong dalam Jelajah Harapan Malaysia di Taman Bukit Dahlia, di sini, sebentar tadi.
Mahathir berkata, tidak mudah untuk semua parti dalam Harapan bertanding tanpa menggunakan simbol dan logo parti masing-masing.
“Bukan mudah hendak suruh setiap parti yang ada dalam Harapan ini menggugurkan simbol mereka. DAP telah guna simbol roketnya selama hampir 60 tahun. Yang lain juga sayang kepada simbol masing-masing.
Tetapi kerana kita ingin bersatu padu, maka kita bersetuju bahawa keempat-empat parti ini akan guna hanya satu simbol. Saya amat gembira sesuatu yang tidak mungkin dilakukan dahulu, sudah dilakukan oleh kita semua,” katanya.
Mahathir turut mengucapkan terima kasih kepada semua penyokong kerana menerima keputusan Harapan untuk menggunakan bendera, logo dan simbol PKR dalam PRU akan datang.
“Sampaikan maklumat ini kepada semua rakyat di Malaysia, bahawa dalam pilihan raya ini empat parti yang tidak dibenarkan bergabung akan berjuang bersama dan menuju simbol yang sama.
“Sesiapa yang mengundi, undilah Harapan, undilah simbol PKR ini sebagai keyakinan akan Harapan,” katanya.
Turut hadir, Presiden Harapan, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Timbalan Presiden Harapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu selain beberapa pimpinan tertinggi lain termasuklah Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.