KLANG: Pengumuman pembubaran Parlimen seperti dilakukan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak terus dipersoalkan dan ia jelas kelihatan memecahkan tradisi yang sudah dikekalkan sebelum ini.
Exco Kemiskinan, Kerajaan Prihatin dan Pekerja Ladang, Ganabatirau Veraman berkata, belum pernah berlaku dalam sejarah Malaysia cara pembubaran seperti itu.
“Ia menunjukkan bahawa komponen parti Umno – Barisan Nasional (BN) itu seperti belum bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) akan datang.
“Walaupun parti itu sudah ada segala kuasa, terutamanya apabila mereka menggunakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dengan pelbagai cara supaya persempadanan semula sebagai satu langkah untuk menjahanamkan demokrasi di Malaysia,” katanya kepada SelangorKini.
Beliau berkata demikian selepas menyerahkan sumbangan pada Program Mesra Rakyat – Majlis Penyerahan Cek bagi Kuil, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan Yuran Pengajian kepada kaum Hindu negeri ini bertempat di Dewan Auditorium Majlis Perbandaran Klang (MPK) di sini.
Ganabatirau berkata, dengan cara persempadanan semula itu jelas menunjukkan kerajaan BN cuba memecah belahkan kaum di negara ini.
“Saya sedih melihat perjuangan parti berusia lebih 60 tahun yang sepatutnya memperjuangkan hak rakyat kini menjadi sebaliknya.
“Bagaimanapun, saya berharap rakyat dapat menilai dengan bijak adakah mereka mahukan negara ini terus dipimpin oleh kerajaan yang bermain dengan kancah politik wang?,” soalnya. #sumber