JERANTUT: Biarpun Parlimen Jerantut merupakan kubu kuat BN namun Pas tidak akan berputus asa malah nekad merampas kerusi yang dimenangi penyandang selama ini.
Yang Dipertua PAS Kawasan yang juga calon kerusi Parlimen (P081) PRU14, Yohanis Ahmad berkata, jentera pilihan raya Pas sudah bersedia untuk mencabar calon parti lawan.
Menurutnya, PRU14 pada 9 Mei depan pasti menjanjikan kelainan kerana Pas bergerak sendirian tanpa bergabung dengan part laini seperti PRU13.
"Pada PRU lepas kita bergabung dengan Pakatan Rakyat dan Pas hanya bertanding di kerusi parlimen, Dun Pulau Tawar serta Dun Tahan namun semuanya tewas kepada BN.
"Kali ini kita bertanding di semua kerusi, jadi kita nekad akan lakukan yang terbaik untuk menang, kelmarin.
Khamis lalu Pesuruhjaya Pas Pahang, Rosli Abdul Jabar telah mengumumkan calon Pas yang akan bertanding pada PRU14 sempena Majlis Pengisytiharan Calon Pas dan Gagasan Sejahtera Pahang di Padang Awam Cenderawasih, Kuantan.
Yohanis berkata, Pas turut pertaruhkan dua muka baharu iaitu Zuridan Md Daud yang akan bertanding di Dun Damak (N10) manakala Ahmad Naawi Samah akan bersaing di Dun Pulau Tawar (N11).
"Kita juga mengekalkan Mohd Zakhwan Badarddin untuk bertanding di Dun Tahan (N09) biar pun beliau tewas kepada calon BN, Datuk Seri Wan Amizan Wan Abdul Razak pada PRU13. #sumber