GEORGE TOWN: Parti Bersama Malaysia (MU), parti yang berteraskan kerja-kerja komuniti, hari ini mengumumkan akan bertanding 20 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan lima kerusi Parlimen di negeri ini pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
Presidennya Tan Gim Theam berkata MU membuat keputusan bertanding dalam PRU14 untuk memberi pilihan kepada penduduk negeri ini memilih wakil rakyat mereka.
"Calon-calon yang dipilih (untuk bertanding) adalah berdasarkan kerja-kerja komuniti yang mereka sertai sejak beberapa tahun lepas di mana mereka telah memahami isu-isu kawasan masing-masing," katanya dalam sidang akhbar pengumuman calon parti di sini, hari ini.
Beliau berkata parti itu tidak membuat sebarang manifesto, sebaliknya setiap calon akan membuat janji kepada masyarakat di kawasan mereka bertanding yang akan ditunaikan sekiranya menang pada PRU14.
Parti Bersama Malaysia atau lebih dikenali sebagai Malaysian United (MU) telah ditubuhkan pada 2015 dan mendaftar dengan rasminya pada 2016. #sumber