KUALA LUMPUR – Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) merupakan cabaran hidup atau mati kepada MIC.
Selain itu, presidennya, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam adanya’musuh dalam selimut’ dalam parti dibimbangi akan mengeruhkan lagi keadaan parti.
Justeru, beliau mahu segala persengketaan dalaman parti diatasi segera sekiranya mahu MIC relevan dalam hati masyarakat India dan meneruskan tradisi parti yang dipelihara sejak 71 tahun lalu.
“Ada dalam kalangan pemimpin dan ahli parti yang bersikap mementingkan diri sendiri. Kita perlu mengembalikan semangat muafakat dan kekitaan dalam MIC demi pengukuhan parti.
“Ada ahli berpengalaman selama lebih 50 tahun yang sepatutnya matang dan bersedia untuk bertolak ansur dan bekerjasama.
“Lebih menyedihkan ada sesetengah ahli MIC yang menganggap diri mereka sebagai calon bagi PRU-14 sedangkan parti dan Perdana Menteri. Datuk Seri Najib Razak sendiri belum dapat memuktamadkan lagi.
“Ia sekaligus menghalang kerja bakal calon untuk mendekati pengundi sesebuah kawasan.. ini yang akan menghancurkan kita,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada hari pertama Perhimpunan Agung MIC ke-71 di Dewan Tun Razak 1, Pusat Dagangan Dunia Putra di sini petang tadi.
Menteri Kesihatan itu secara tegas mengingatkan sekiranya situasi dalaman itu tidak ditangani, masa depan MIC akan ditentukan dalam PRU-14 ini.
“Kita mahu meningkatkan sokongan pengundi India daripada 50 peratus pada PRU-13 kepada 60 peratus pada kali ini, nak tak nak MIC perlu menang enam parlimen dan majoriti daripada 18 kerusi DUN kita di beberapa negeri penting.
“Tetapi, melihat sikap kepentingan diri ahli menyebabkan saya terfikir sama ada pembangkang akan menewaskan kita atau ahli dan pempimpin kita yang tiada semangat kerjasama bakal ‘menggali lubang’ untuk parti sendiri.
“Kita disediakan ‘senjata’ terbaik kerajaan iaitu Pelan Induk Pembangunan Masyarakat India dan kita perlu menggunakan sebaik mungkin senjata itu untuk meyakinkan masyarakat India yang dilamun khayalan negatif pembangkang,” katanya.
Ahli Parlimen Segamat itu menegaskan, sejak parti mengharungi krisis dalaman antara tahun 2014 dan tahun 2015, pihaknya berjaya mengembalikan 85 peratus ahli dan terdapat individu baharu berminat menyertai MIC.
“Kita perlu berubah demi semangat dan pengukuhan parti kerana melihat PRU akan datang. UMNO kini dalam keadaan bersedia jika PRU-14 diadakan esok tetapi tidak untuk MIC.
“Siapapun tidak menjangkakan seorang bekas pemimpin UMNO yang mentadbir negara dan BN selama 22 tahun kini di sebelah pembangkang dan mahu menjatuhkan kita.
“Ini antara cabaran maut yang kita perlu harungi dan mengekalkan kuasa MIC dan BN, kalau tidak parti India lain di luar MIC dijadikan alternatif sekiranya MIC lemah dan gagal bangkit pada PRU nanti,” ujarnya lagi.
Subramaniam juga menjelaskan, usaha parti setakat ini berjaya mendaftarkan pengundi baharu kedua terbanyak selepas UMNO dalam komponen BN untuk PRU-14.
Beliau turut memberitahu, MIC akan meminda beberapa perlembagaan parti untuk memberi kuasa kepasa 4,200 cawangan sebagai salah satu usaha mengukuhkan kedudukan parti.
Sementara itu, Najib yang juga Pengerusi BN dijangka merasmikan Perhimpunan Agung MIC pagi esok di Dewan Merdeka, PWTC.- MalaysiaGazette