Mukhriz: PPBM Akan Letak Calon 'Muka Di Kenali' Pada PRU14 Ini ! kabarmalay3.blogspot.com


KUALA LUMPUR: Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, PPBM akan menurunkan calon dikenali pengundi pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) dengan majoritinya terdiri daripada orang tempatan dari kawasan yang ditandingi mereka.

“Salah satu kriteria yang penting adalah kepada mereka yang bertanding di kerusi-kerusi tertentu, mereka haruslah datang dari kawasan situ, tinggal di situ, duduk di situ.

“Bagaimanapun, ianya tidak wajib tetapi adalah baik jika mempunyai calon tempatan. Ia mempunyai ikatan kekeluargaan dan orang ramai mengenalinya juga akan menjadi nilai tambah,” katanya.

Timbalan Presiden PPBM itu berkata, parti dan imejnya sama penting untuk menarik sokongan pengundi.

“Apa yang penting adalah bukan sahaja parti, tetapi siapa yang jadi wajah untuk parti dan siapa yang akan dicalonkan serta mereka (pengundi) harus mengenali calon itu. Jika mereka kenal dan menyukainya, ia adalah bonus yang besar,” katanya dalam satu wawancara.

Katanya, walaupun PPBM lebih suka meletakkan calon tempatan di setiap kawasan, ia bukannya faktor penentu kerana parti itu turut mengambil kira ciri lain calon, termasuk kepakaran dan hubungan mereka dengan pengundi.

Berdasarkan pengalamannya dengan UMNO pada PRU13, bekas Menteri Besar Kedah itu berkata, personaliti turut memainkan peranan penting dalam memenangi hati pengundi.

Mukhriz berkata, penyokong PAS yang merupakan musuh tradisi UMNO, menyokong calon UMNO di Bukit Kayu Hitam, Datuk Ahmad Zaini Japar selepas beliau dinamakan Menteri Besar, jika BN memenangi Kedah.

Zaini menewaskan calon PKR, Nasrul Omar Che Mansor dengan kelebihan 7,873 undi selepas meraih 16,454 undi.

“Mereka lihat pada personaliti, bukan parti sahaja,” kata Mukhriz.

Daripada pengalamannya ketika menyenaraikan calon BN pada PRU13, Mukhriz mahu menggunakan prinsip sama dalam pemilihan calon yang mempunyai pelbagai ciri, iaitu generasi muda, wanita dan mereka yang mempunyai pengalaman dalam bidang tertentu.

“Dan kemudian ada himpunan antara exco, contohnya jika anda letak calon-calon itu, anda akan ketahui jika mereka menang, siapa yang akan jadi exco agama, siapa akan jadi exco pelaburan contohnya. Jadi orang boleh bayangkan, perkara ini adalah penting.”

Beliau juga berharap majoriti calon parti itu terdiri daripada anak muda, berdasarkan usia parti itu dan imejnya sebagai parti politik untuk generasi muda.

PPBM ditubuhkan pada September 2016 dan diketuai bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Mukhriz juga bercakap mengenai usia bapanya.

“Kita ada pengerusi berusia 92 tahun. Tetapi, selain daripada itu, jika anda lihat pada akar umbi kami, mereka sangat muda.”

Mengulas mengenai pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri di Kedah, Mukhriz yang juga pengerusi PH Kedah berkata, PPBM akan bertanding di 14 kerusi, diikuti PKR (10), Amanah (10) dan DAP kekal bertanding 2 kerusi, iaitu Kota Darulaman dan Derga.

“2 kerusi itu mereka masih mempertahankan. Tidak ada penambahan bagi DAP. Ini juga membuktikan langsung tak benar dakwaan sekiranya Pakatan Harapan ini menang, maka DAP yang akan mendominasi kerajaan negeri Kedah.

“Dua kerusi daripada 36? Saya pun tak tahulah apa logik di sebalik dakwaan itu,” katanya. #sumber

Subscribe to receive free email updates: