PETALING JAYA: Gabungan parti-parti pembangkang, Pakatan Harapan (PH), mempunyai pelan kontingensi sekiranya penggunaan simbol PKR oleh calon parti DAP, AMANAH dan anggota Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang dibubarkan sementara, ditolak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata pakatan itu telah menggaris strategi jika kemungkinan berlaku halangan atau masalah di dalam pencalonan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini.
"Kami ada idea apa hendak dilakukan, tetapi tentunya kami tidak boleh beritahu anda. Jika kami beritahu, Najib (Datuk Seri Najib Tun Razak) akan tahu. Jadi ini senjata sulit kami," katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
SPR menetapkan 9 Mei sebagai hari pengundian. Tarikh penamaan calon pula ditetapkan 28 April, manakala tarikh pengundian awal 5 Mei.
Dr Mahathir berkata pihaknya mengambil pengalaman daripada pembubaran sementara terhadap PPBM pimpinannya pada 5 April lepas. #sumber