Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, penggunaan logo bersama itu mampu meyakinkan rakyat bahawa PAKATAN bertekad menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang lebih baik selepas PRU-14 nanti.
“Kita lihat jaringan kerjasama parti-parti pembangkang juga semakin kukuh dan semalam semua parti telah mengambil ketetapan yang tidak pernah berlaku dalam sejarah politik negara di mana kesemua parti bersetuju menggunakan satu logo dan logo KEADILAN telah dipilih sebagai logo umum dalam PRU-14 kali ini.
“Ini memberikan satu semangat baru dan menyakinkan rakyat Malaysia pada hari ini bahawa perpaduan yang utuh di kalangan parti pembangkang ini dengan satu tujuan untuk memenuhi aspirasi rakyat dan pengundi bagi membawa perubahan yang total di Putrajaya dalam PRU-14,” katanya.
Azmin berkata kepada SelangorKini selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) KEADILAN di Ibu Pejabat KEADILAN di sini, hari ini.
Ketika ditanya antara isu lain dibincangkan dalam mesyuarat MPP itu, Mohamed Azmin menjelaskan ahli mesyuarat turut dibentangkan status terkini persiapan jentera sebelum menjelang PRU-14.
Katanya, beliau gembira apabila menerima laporan daripada kesemua peringkat negeri bahawa persiapan jentera berada di tahap terbaik.
“Tumpuan kita hari ini ialah persiapan PRU-14 dan daripada laporan yang kita terima daripada negeri-negeri, saya gembira kerana pimpinan KEADILAN di semua peringkat sudah bersiap sedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14,” katanya. #sumber