KUANTAN: Suspek yang didakwa melakukan penderaan seksual termasuk meliwat pelajar sebuah maahad tahfiz swasta di sini, sering membawa remaja yang tinggal di asrama pulang ke rumahnya tanpa pengetahuan pihak pengurusan.
Pengetua dan pemilik maahad di Bukit Bay Route itu berkata, seorang tenaga pengajar di situ pernah melihat suspek cuba masuk ke dalam selimut salah seorang mangsa yang sedang tidur di asrama berkenaan bulan lalu.
"Selepas disoal siasat, barulah pelajar terbabit mengaku mengenai kegiatan tidak bermoral lelaki berkenaan yang kami sudah anggap macam keluarga sendiri.
"Paling menyedihkan kami, apabila mendapat tahu 21 pelajar lelaki yang berumur antara 10 hingga 17 tahun menjadi mangsa gangguan seksual dan ada yang diliwat, malah seorang daripada mereka juga memaklumkan dipaksa melakukan perkara terkutuk berkenaan kira-kira 10 kali," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Pemilik maahad berusia 38 tahun itu tidak menyangka lelaki yang juga seorang sukarelawan di maahad itu, sudah melakukan perbuatan terkutuk itu sejak Ogos tahun lalu.
"Kami memang tidak menyangka perkara ini kerana dia aktif dalam memberi sumbangan barangan keperluan harian serta dipercayai pegawai khas kepada salah seorang kerabat di negeri ini.
"Maahad ini sudah jadi seperti rumah kedua baginya sejak 2015 lagi. Saya tidak sangka kepercayaan yang diberikan kepadanya dibalas dengan tindakan yang tidak bermoral ini.
"Pelajar-pelajar di sini dan ibu bapa sangat akrab dengan beliau malah dia kerap ke pusat tahfiz ini, kadang-kadang setiap hari. Dia juga banyak berubah termasuk sudah belajar solat serta mengaji," katanya.
Beliau berkata, pihaknya sudah memaklumkan mengenai perkara itu kepada keluarga mangsa malam tadi dan sudah membuat sesi penerangan kepada mereka hari ini.
"Ibu bapa memang terkejut selepas mengetahui mengenai perkara ini. Ramai yang tidak sangka suspek sanggup melakukan perkara sedemikian kepada anak-anak mereka," katanya.
"Kami amat kecewa kerana dia sanggup buat anak-anak saya macam ini setelah diberikan kepercayaan kepadanya, dia sanggup rosakkan masa depan anak-anak saya," katanya.
Suspek berusia 41 tahun ditahan polis selepas pihak pengurusan maahad tahfiz itu membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan, pada Isnin lalu dan kini direman sehingga 19 Mac ini.
Polis menyiasat kes itu mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan. #sumber