CAMERON HIGHLANDS: MIC yakin parti itu kekal bertanding di kerusi Parlimen Cameron Highlands pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), kata Presidennya Datuk Seri Dr S. Subramaniam.
Beliau berkata ini kerana kawasan Parlimen Cameron Highlands merupakan kerusi tradisi MIC sejak dahulu dan pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) maklum akan perkara itu walaupun terdapat parti komponen BN yang lain berminat untuk bertanding di kerusi itu.
"Jentera parti MIC sudah melakukan gerak kerja (dalam mendekati pengundi) sejak dahulu. Bagaimanapun, tiada masalah jika (parti komponen) mahu bekerja di sini bagi memastikan kemenangan berpihak kepada BN. Tiada isu dalam perkara itu," katanya.
Dr Subramaniam yang juga Menteri Kesihatan berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyampaian cek berjumlah RM800,000 kepada Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Tamil Terla dan Persatuan Penganut Dewa Sri Maha Mariamman di sini, hari ini.
Katanya MIC juga telah menyerahkan nama calon yang dicadangkan bertanding di kerusi itu kepada Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak #sumber