Salleh: Manifesto PRU14 Pakatan Harapan Hanyalah Besar Dalam Kata-Kata ! kabarmalay3.blogspot.com


KUALA LUMPUR: Manifesto Pakatan Harapan (PH) yang dilancarkan semalam “hanya besar dalam kata-kata tetapi kecil dari segi kandungannya”, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

“Kita perlu realistik. Hakikatnya, manifesto PH ini hanya besar dalam kata-kata tetapi kecil dari segi kandungannya.

“Dengan mengurangkan pendapatan dan meningkatkan perbelanjaan, PH tidak akan melaksanakan kesemua janji mereka dan membangunkan Malaysia,” katanya dalam blog sskeruak.blogspot.my hari ini.

Katanya, pembangunan negara perlu dibina berdasarkan rancangan terbukti dan bukannya melalui janji yang dikitar semula.

Memetik manifesto PH pada muka surat 138, Salleh berkata PH membuat banyak janji seperti memberi lebih banyak wang kepada rakyat tetapi tidak menjelaskan rancangan mereka untuk menggantikan pendapatan yang hilang.

“Mereka juga berjanji untuk memberi negeri-negeri bersamaan 20 peratus royalti minyak. Adakah ini bermakna geran dan belanjawan pembangunan sekarang akan dikurangkan atau adakah berlaku tambahan bebanan kepada geran dan belanjawan pembangunan?

“Bagaimanakah negara mampu semua itu dan dari manakah wang itu akan datang? Soalan itu tidak pernah dijelaskan,” soal Salleh.

Katanya ahli politik perlu membuat janji boleh ditunaikan dan bukan sekadar janji yang dapat membantu memenangi pilihan raya.

Salleh berkata pembangkang juga bercakap tentang memulihkan kedaulatan atau kedaulatan undang-undang di mana ia perkara yang sama seperti yang dikatakan pembangkang pada tahun 1988, dan kemudian pada tahun 1998 iaitu ketika Tun Dr Mahathir Mohamad dituduh mengamalkan pemerintahan melalui undang-undang berbanding pemerintahan mengikut perundangan.

“Hari ini, PH berkata perkara sama sekali lagi dan memilih Tun Dr Mahathir untuk memimpin ‘perubahan’. Apa logik ini?

“PH juga mengatakan kedaulatan negara digadai. Apa mereka maksudkan sebenarnya? Adakah mereka mengatakan Malaysia bukan lagi sebuah negara merdeka?” soal Salleh yang juga bendahari Umno.

Tambah beliau, ini sekali lagi perkara mudah yang sengaja dibesar-besarkan dan disensasikan walaupun Malaysia masih sebuah negara merdeka dan kedaulatannya masih utuh. #sumber

Subscribe to receive free email updates: