Pengarah Jabatan IT PAS Pusat, Suhaimi Embong berkata, aktivis politik itu boleh bertanding di salah sebuah daripada 130 kerusi Parlimen atas tiket parti Islam itu.
“Kalau dia (Maria) setuju, kita boleh bincang. Kita juga tawarkan kerusi pada badan bukan kerajaan (NGO) lain. Dia boleh bertanding di mana-mana tempat yang sesuai, tetapi kena bincanglah.
“Memandangkan PAS paling dominan dalam Gagasan Sejahtera, maka pemimpin NGO yang hendak bertanding, tapi tiada logo parti boleh gunakan logo PAS,” katanya dalam majlis minum petang PAS Lembah Pantai, hari ini.
PAS tidak menyertai Pakatan Harapan (PH), sebaliknya Gagasan Sejahtera, blok ke-3 yang turut dianggotai oleh sebuah parti kecil Parti Ikatan Bangsa Malaysia, Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) dan Parti Cinta Malaysia (PCM)
Minggu lalu, Maria mengumumkan pengundurannya daripada Bersih 2.0 yang diketuainya dan menawarkan diri untuk bertanding di kerusi Parlimen atas tiket PH pada PRU14, tetapi beliau tidak bercadang menyertai mana-mana parti politik.
Pada 6 Mac lalu, Pengerusi dan calon Perdana Menteri PH, Tun Dr Mahathir Mohamad, gabungan pembangkang itu akan membincangkan permintaan Maria untuk bertanding atas tiket PH.
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini mengetengahkan konsep “kerajaan teknokrat” sebagai alternatif kepada sebuah kerajaan yang didominasi ahli politik dan parti politik semata-mata.
Katanya, kerajaan teknokrat akan membolehkan individu bukan politik yang berkebolehan dengan kepakaran tertentu dipilih melalui proses demokrasi untuk terlibat dalam pengurusan dan pembangunan negara, serta mengendurkan ketegangan antara parti politik.
Mengulas lanjut, Suhaimi berkata, PAS turut menawarkan kerusi kepada NGO lain seperti Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) dan Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (HALUAN) untuk bertanding menggunakan logo parti Islam itu.
“Mungkin Isma, Haluan dan beberapa NGO yang lain bersetuju dalam rundingan dengan kita. Namun syarat-syaratnya kena setia dengan Gagasan Sejahtera.
“PAS akan lihat kerusi yang sesuai untuk pemimpin NGO ini bertanding, mungkin di kawasan yang ada sokongan, tetapi PAS tidak ada kekuatan organisasi.” #sumber