ARAU: Beban hutang negara akan melonjak kepada RM416 bilion jika cukai barang dan perkhidmatan (GST) serta tol dihapuskan sebagaimana dijanjikan Pakatan Harapan (PH) dalam manifesto pilihan raya mereka, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau berkata, pemansuhan GST dan tol sahaja akan menyebabkan kerajaan kehilangan hasil negara berjumlah RM383 bilion, tidak termasuk hutang sedia ada lain.
Katanya, separuh daripada pembangunan negara juga tidak akan dapat dilaksanakan akibat kehilangan hasil negara yang besar itu.
“Dia (PH) punya manifesto lagi dahsyat.. (negara) kita akan berhutang dan adik-adik sekalian (generasi muda) akan tanggung… Sebab itu kita tidak boleh tipu rakyat, jangan tipu rakyat, yang mana boleh buat, kita buat, mana tidak boleh buat, kita beritahu tidak mampu.
“Tapi percayalah kita sentiasa fikir tentang rakyat kerana ini dasar kita, rakyat didahulukan,” katanya pada program “Bajet 2018 bersama Rakyat: Belia dan Pelajar,” di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) hari ini.
Najib berkata, sesebuah negara akan berada dalam keadaan mundur jika semua kemudahan diberi secara percuma kerana ekonomi tidak akan berkembang.
“Kita mesti kembangkan ekonomi kita, tahun lepas pencapaian ekonomi kita antara tertinggi di dunia dengan 5.9%, bila ekonomi berkembang, banyak pelaburan masuk dan akan sediakan banyak peluang pekerjaan.
“Kita ada sistem antara terbaik di dunia, cuma kadang-kadang kita tidak hargai, bukan salah kita, tapi ada orang tertentu sengaja pusingkan dengan berita palsu,” katanya.
Dalam pada itu, perdana menteri berkata, masyarakat juga perlu percaya kerajaan sedia ada dan yakin Malaysia kini berada di ambang sebuah negara lebih hebat.
“Kita sedang sediakan landskap ekonomi baik kepada generasi akan datang, dalam tempoh 5-6 tahun lagi Malaysia akan berwajah baru, apabila projek seperti Transit Aliran Massa (MRT), Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) dan Tun Razak Exchange (TRX) siap sepenuhnya,” katanya. #sumber