Maria Saman 'Jamal Yunos', Tiada Kenyataan ‘Meletup’ Daripada Tun Dr Mahathir kabarmalay3.blogspot.com


KUALA LUMPUR: Meletakkan Tun Dr Mahathir Mohamad di kandang saksi dalam kes saman fitnah bekas pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah terhadap pemimpin gerakan Baju Merah Datuk Seri Jamal Yunos tidak menghasilkan sebarang gempar.

Prosiding itu selesai dalam tempoh 30 minit tanpa kenyataan-kenyataan mengejut atau soalan-soalan sukar daripada peguam Maria, N Surendran, semasa pemeriksaan balas.

Bekas perdana menteri tampil sebagai saksi bagi pihak Jamal, yang pernah dikritik Dr Mahathir kerana tingkah lakunya yang dikatakan melampau.

Jamal hadir di mahkamah hari ini tetapi mereka tidak beramah mesra.

Dr Mahathir dalam keterangannya sebagai saksi kedua defendan berkata Kementerian Dalam Negeri membentangkan satu Kertas Putih di Dewan Rakyat tentang penahanan 106 ahli politik dan pemimpin persatuan sivil pada 1987 bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

“Tangkapan dilakukan kerana satu ancaman kepada keselamatan dan keamanan dalam negara,” katanya ketika diperiksa peguam Jamal, Mohammed Nasser Yusof.

Dr Mahathir adalah perdana menteri selama 22 tahun sehingga 2003 dan menteri dalam negeri dari 1986 hingga 1999.

Beliau bersetuju dengan isi kandungan laporan itu yang berkata Parti Komunis Malaya adalah satu pertubuhan militan dan suami Maria, Yunus Ali dan aktivis Hishamuddin Md Rais pernah bertemu Setiausaha Agung PKM Chin Peng.

Yunus antara yang ditahan bawah ISA ketika itu.

“Saya bertindak atas nasihat polis kerana mereka yang menjalankan siasatan,” kata Dr Mahathir.

Dr Mahathir berkata pandangannya yang dipegang sejak 2006 terhadap Bersih sudah berubah.

Beliau akui agensi berita Bernama melaporkan kenyataannya bahawa Bersih akan melakukan keganasan jika gabungan pembangkang ketika itu, Pakatan Rakyat tewas pilihan raya umum ke-13.

Diperiksa Surendran, Dr Mahathir berkata dia tidak lagi mempunyai pandangan negatif terhadap Bersih, berdasarkan pengalamannya dengan gerakan itu.

“Pemimpin mereka tidak mempromosikan huru hara dan peserta tunjuk perasaan mengutip sampah di perhimpunan itu,” katanya, dan menambah 2 acara Bersih yang dihadiriny bersifat aman.

Dr Mahathir berkata kenyataannya terhadap Bersih dan pimpinan gerakan itu sebelum ini berdasarkan maklumat yang diberikan polis.

Dalam tuntutan mahkamahnya, Maria mendakwa pada 28 September 2016, Jamal mengeluarkan kata-kata berbaur fitnah terhadap Bersih pada sidang akhbar di luar Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Beliau juga mendakwa pada 4 Oktober tahun lepas, Jamal mengeluarkan kata-kata fitnah yang sama terhadap Bersih pada persidangan media di pekarangan ibu pejabat polis Bukit Aman.

Menurut Maria, portal media dan berita kemudiannya menerbitkan kenyataan tersebut, dan perkara itu menjatuhkan reputasinya di mata umum.

Beliau menuntut ganti rugi dan juga injunksi untuk menghalang Jamal daripada mengeluarkan atau menerbitkan kenyataan sama ada secara lisan, dalam bentuk cetakan atau atas talian.

Jamal berkata komennya itu wajar dan adil.

Pendengaran akan bersambung di depan Hakim Mohd Zaki Abdul Wahab. #sumber

Subscribe to receive free email updates: