KUANTAN: Pemilik sebuah maahad tahfiz di sini kecewa dengan nasib yang menimpa 21 pelajarnya yang didakwa didera secara seksual termasuk enam daripadanya dikatakan diliwat sejak Ogos lalu.
Menurut lelaki berusia 38 thun itu, dia tidak menyangka suspek sanggup melakukan perkara terkutuk berkenaan sedangkan selama ini dia aktif dalam memberi sumbangan barangan keperluan harian dan pakaian di sini sejak tahun 2015.
"Pelajar-pelajar di sini dan ibu bapa sangat akrab dengan beliau malah dia kerap ke pusat tahfiz ini, kadang-kadang setiap hari. Dia juga banyak berubah termasuk sudah belajar solat serta mengaji.
"Saya amat kecewa kerana dia sanggup buat anak-anak saya macam ini setelah diberikan kepercayaan kepadanya, dia sanggup rosakkan masa depan anak-anak saya.
"Maahad ini sudah jadi seperti rumah kedua. Saya tidak sangka kepercayaan yang diberikan kepadanya dibalas dengan tindakan yang tidak bermoral ini," katanya ketika ditemui di maahad berkenaan di sini hari ini.
"Selepas disoal siasat, baru pelajar yang terbabit mengaku mengenai kegiatan tidak bermoral lelaki berkenaan. 21 pelajar lelaki yang berumur antara 10 hingga 17 tahun menjadi mangsa gangguan seksual.
"Enam daripada 21 pelajar yang menjadi mangsa pula diliwat, malah salah seorang daripada mereka dipaksa melakukan perkara terkutuk berkenaan kira-kira 10 kali," dakwanya.
Katanya lagi, suspek juga sering membawa pelajar tahfiz pulang ke rumahnya tanpa pengetahuan pengurusan maahad.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan Supritenden Kama Azural Mohamed berkata, pihaknya menahan suspek yang berusia 41 tahun di bandar ini sejurus laporan polis dibuat, kelmarin.
Katanya, laporan mendakwa mangsa mula diliwat di sekitar kawasan asrama dan kediaman suspek di sebuah taman perumahan di sini.
"Suspek kini direman bermula semalam sehingga 19 Mac depan di bawah Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan," katanya. #sumber