Menurut sumber JKR, langkah untuk membaiki jambatan itu sebenarnya telah mula dilakukan pada tahun lepas.
“Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail selaku Adun Jelai telah membuat permohonan peruntukan untuk membaiki jambatan itu pada 1 Jun 2017 dan kelulusan daripada Tabung Kumpuan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara diperoleh pada 20 Oktober 2017.
“Pada 21 Disember lalu, surat tawaran dikemukakan kepada kontaktor yang berjaya memperolehinya dan kerja dijadual bermula pada 8 Januari ini dan dijangka siap dalam tempoh 10 minggu,” katanya semasa dihubungi Bernama hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas rakaman seorang pelajar ketakutan untuk menyeberangi jambatan gantung Pamah Aur yang rosak dengan dibantu bapanya yang tular di laman sosial sehingga menimbulkan pelbagai reaksi netizen.
Pada petang semalam, bapa terbabit tampil memohon maaf dan menjelaskan tindakannya memuat naik rakaman itu di laman sosial supaya jambatan tersebut diganti dengan yang baharu, namun disalah erti oleh orang ramai.
Sumber JKR itu menjelaskan tempoh agak lama dari tarikh permohonan hingga tarikh kelulusan adalah bertujuan untuk mendapatkan gambaran sebenar kerosakan yang berlaku supaya proses membaiki dan kosnya dapat diketahui dengan terperinci.
“Apabila sebut harga dikeluarkan, antara 2 ke 3 minggu diperlukan untuk kontraktor berminat mengemukakan harga tawaran mereka untuk penilaian JKR. Proses menilai juga akan mengambil masa kira-kira seminggu kerana JKR perlu mencari kontraktor yang menawarkan kerja terbaik,” katanya.
Beliau menjelaskan permilihan tarikh 8 Januari untuk memulakan kerja adalah mengambil kira musim tengkujuh yang lazim melanda Pahang pada hujung tahun dan berikutan kini banjir melanda agak lewat, JKR akan memastikan kerja itu dilaksanakan sebaik sahaja keadaan mengizinkan.
Beliau juga menjelaskan jambatan itu sebenarnya pernah dibaiki beberapa kali iaitu pada 2015 dan 2017 ekoran kerosakan disebabkan banjir.
Menurutnya, terdapat jalan alternatif kerana Kampung Pamah Aur mempunyai laluan darat untuk ke bandar Kuala Lipis, dan masih ada pihak yang menyediakan kemudahan bot di laluan yang dinaiki air pada musim banjir ini. #sumber