Pilihan raya nanti akan menentukan nasib parti-parti pembangkang kecil yang bakal berdepan kekuatan Sabah BN.
KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman dilihat tersenyum lebar semasa ditemui pihak media yang mahu merakam percakapannya baru-baru ini.
Dalam kalangan komuniti pemberitaan, sesi seperti ini dipanggil “jolok”, atau sidang akhbar yang tidak dijadualkan.
Musa yang memakai kemeja lengan pendek dengan logo Barisan Nasional (BN) pada bahagian kiri dan lambang 1Malaysia pada bahagian kanan, kelihatan gembira dan santai menyambut pemberita yang menunggunya.
Terdahulu beliau melawat pusat daerah mengundi (PDM) BN dan menyampaikan bantuan dalam bentuk beg dan alatan sekolah dan kerusi roda kepada golongan kurang upaya di Kampung Sungai Kayu di Sandakan.
PDM itu akan menjadi pusat operasi untuk gabungan pemerintah bersiap menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Sejak memasuki tahun baru, Musa meluangkan masa melawat 8 daripada puluhan PDM di daerah Sandakan di mana terletaknya kerusi DUN beliau, Sungai Sibuga.
Selepas melawat PDM Sungai Kayu, ketua menteri memberitahu media beliau berpuas hati pusat-pusat itu bersedia untuk pilihan raya.
“Daripada apa yang saya lihat, kita bersedia untuk hadapi piilihan raya,” katanya dan menambah, setiap PDM mempunyai ketua sendiri, dibantu sayap semua parti komponen BN, ketua bahagian dan juga ahli.
Bekas ahli perniagaan berumur 67 tahun itu memang sepatutnya arif berkenaan tahap kebersediaan BN Sabah, dengan pengalamannya mengetuai gabungan pemerintah yang terdiri daripada 7 parti komponen melalui 4 kali pilihan raya di negeri yang saiznya lebih kurang separuh daripada Semenanjung Malaysia.
“Apa yang penting adalah kita (BN) kekal setia dan bersatu membantu calon kita,” kata Musa yang berkhidmat sebagai ketua menteri sejak 2003.
Musa juga mengetuai Umno Sabah yang menurut timbalan ketua penerangannya, Datuk Ramlee Marahaban, sudah berada dalam mod “turbo” untuk pilihan raya.
Ramlee yang juga Adun Bugaya dan pembantu menteri kewangan negeri berkata, parti itu telah mengadakan lebih banyak program untuk mempersiapkan ahli dan pemimpin akar umbi hadapi pilihan raya.
Program-program itu termasuklah pelbagai aktiviti seperti pengagihan bendera parti dan taklimat-taklimat.
BN Sabah sedang menuju ke aran PRU14 dengan yakin, sambil memegang 21 daripada 25 kerusi Parlimen dan 48 daripada 60 kerusi DUN.
Pembangkang yang retak
Situasi pula berbeza untuk barisan pembangkang yang mana boleh digambarkan sebagai retak.
DAP dan Parti Warisan Sabah kedua-duanya memegang 2 kerusi Parlimen setiap satu.
Warisan memperoleh kerusi Parlimen pertamanya selepas Ahli Parlimen Semporna Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, yang memenangi kerusi itu atas tiket BN, keuar Umno pada pertengahan 2015 dan mengambil alih tampuk pemerintahan parti setahun kemudian.
Selepas itu, Ahli Parlimen Penampang Darrel Leiking yang memenangi kerusi itu atas tiket PKR, berpindah masuk Warisan pada 2016.
Pada peringkat DUN, Warisan memegang 3 kerusi pembangkang.
DAP memegang 2 kerusi negeri sementara Parti Anak Sabah, Parti Cinta Sabah (PCS) dan Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan) setiap satunya 1 kerusi.
Dua Adun lain pula, Jeremy Malajad dari Kadamaian dan Jailani Hamdan dari Matunggong, yang menang atas tiket PKR pada pilihan raya 2013 kemudian meninggalkan parti itu dan mengisytiharkan diri mereka sebagai bebas.
Tetapi perasaan geram yang tersembunyi dalam kalangan pembangkang Sabah masih kuat disebabkan oleh perubahan kesetiaan politik yang berlaku sejak 2013.
Selepas PRU13, PKR mengalami kekalahan apabila Datuk Seri Wilfred Bumburing dari Tamparuli dan Datuk Seri Lajim Ukin dari Klias menubuhkan parti mereka, PCS dan Harapan.
Terrence Siambun dari Moyog juga keluar dari PKR untuk sertai Warisan. Junz Wong dari Likas juga menyusul keluar daripada DAP.
Pada ketika itu, Datuk Jaujan Sambakong dari Sulabayan juga keluar Umno untuk menyertai Warisan.
Sama juga untuk Dr Edwin Bosi dari Kepayan yang keluar DAP untuk sertai Parti Anak Sabah.
Kemudian, DAP sekali lagi mengalami rintangan selepas Dr Hiew King Cheu dari Luyang beralih kepada BN selepas menyertai MCA.
Merumitkan lagi keadaan pembangkang adalah kemunculan lebih banyak parti, yang terbaru Parti Kebangsaan Sabah (PKS) diketuai bekas Adun Bingkor, Thomas Anggan, yang memenangi kerusi itu sebagai calon PBS.
Pembangkang di Sabah juga termasuklah Pakatan Harapan yang berpangkalan di Semenanjung, terdiri daripada PKR, DAP dan Amanah, sementara itu parti-parti berpangkalan di Sabah pula adalah Harapan Rakyat, STAR, Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS) dan Parti Maju Sabah (SAPP) yang telah bersatu bawah Gabungan Sabah.
Jumlah parti pembangkang yang meningkat menjelang pilihan raya bukanlah sesuatu yang baharu buat pemimpin komponen BN.
Parti-parti pembangkang lain yang lebih kecil seperti Parti Anak Sabah dan PKS, menegaskan mereka tidak bersepakat dengan mana-mana parti dan berhasrat untuk bertanding di hampir semua kerusi negeri dengan sendirinya.
“Lebih banyak lebih meriah tetapi ia juga menunjukkan pembangkang sedang bercelaru,” kata Setiausaha Agung PBS Datuk Johnny Mositun.
Presiden SAPP Datuk Seri Yong Teck Lee berkata semua parti menuju ke pilihan raya dengan isu masing-masing.
Antara isu yang BN perlu selesaikan adalah kos hidup tinggi, cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang tidak diterima ramai, korupsi, persoalan tentang keselamatan, terutamanya sepanjang pesisir pantai timur dan masalah pendatang asing di Sabah yang masih belum selesai.
Warisan terus hadapi masalah
Menurut Yong, walaupun Warisan dilihat sebagai parti pembangkang yang dominan buat masa ini, ia juga berdepan banyak masalah, terutamanya penahanan Shafie, naib presidennya, Datuk Peter Anthony dan ketua Pemudanya Datuk Azis Jamman atas dakwaan rasuah.
Pelbagai persoalan timbul berkenaan mengapa Warisan tidak mengadakan mesyuarat agung tahunan (AGM) sejak Shafie ambil alih tampuk kepimpinan dan membawa masuk majlis tertinggi baharu pada 2016.
Pemerhati-pemerhati lain juga berkata, dengan pelbagai masalah dihadapi Warisan, terdapat kemungkinan parti itu berakhir menjadi “Bersekutu 2.0”.
Mereka merujuk kepada Barisan Rakyat Sabah Bersekutu pimpinan bekas ketua menteri, Tan Sri Harris Salleh, yang kalah di semua 48 kerusi yang ditandingi pada pilihan raya negeri 1999.
“Pada awalnya, Warisan banyak mendapat sambutan tetapi mereka kelihatan seolah-olah kehilangan semangat, apatah lagi dengan persepsi yang semakin berleluasa mengatakan mereka wakil tempatan untuk PH,” kata seorang ahli politik Sabah yang veteran.
“Tindakan Shafie meminta rakyat Sabah memaafkan Tun Dr Mahathir Mohamad mengesahkan lagi perkara ini.”
Katanya, sokongan kepada DAP masih kuat di beberapa kerusi majoriti Cina, seperti Kota Kinabalu dan Sandakan.
Mositun berkata pilihan raya kali ini akan menjadi penentu bagi SAPP bawah pimpinan Yong yang kalah di semua kerusi ia bertanding pada PRU13 dan juga bagi parti-parti baharu yang lebih kecil seperti Harapan, Parti Anak Negeri, PCS dan PKS yang akan terlibat kali pertama dalam pilihan raya.
ShareThis Copy and Paste
The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.