KUALA LUMPUR- Meskipun Tun Dr. Mahathir Mohamad diumumkan sebagai calon Perdana Menteri sementara Pakatan Harapan, namun DAP diyakini tidak akan memberikan kerusi selamat mereka kepada Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) nanti.
Bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim berkata, kejujuran DAP untuk mengangkat Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri bergantung kepada kesanggupan mereka memberi kerusi selamat kepada bekas Perdana Menteri itu untuk bertanding dalam PRU-14 nanti.
Katanya, sekiranya Dr. Mahathir dibiarkan bertanding atas tiket PPBM, ini jelas menunjukkan DAP hanya mempergunakan bekas Perdana Menteri itu untuk meraih undi orang Melayu memandangkan peluang untuk menang cukup samar.
‘‘Kerusi DAP adalah paling ‘selamat’ untuk Dr. Mahathir bertanding kerana ada sokongan kuat kaum Cina, jadi jika benar mereka mahu beliau jadi Perdana Menteri sekali lagi, mereka akan beri beliau kerusi DAP untuk bertanding.
‘‘Tetapi pada hemat saya, DAP memang tidak mahukan Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri dan mereka hanya umumkan beliau sebagai Perdana Menteri sementara atas sebab taktikal untuk tarik undi,’’ katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menawarkan Parlimen Gombak kepada Dr. Mahathir dalam PRU-14.
Dalam pada itu, bekas Setiausaha Organisasi DAP Jelutong, Mohamed Razali Abdul Rahman berkata, DAP tidak akan memberi kerusinya kepada Dr. Mahathir kerana parti itu lebih suka sekiranya beliau bertanding di kawasan Melayu.
‘‘Mereka lebih suka keadaan itu kerana akan membuatkan orang Melayu bergaduh sesama sendiri dan menguntungkan DAP.
‘‘Jika Dr. Mahathir kalah maka sampai sini sahajalah peranan beliau, kalau menang pun, maka beliau harus dengar dan patuh arahan DAP,’’ katanya.
Kata Razali, sekiranya mereka memberi Dr. Mahathir kerusi ‘selamat’ mereka, secara automatik kerusi itu menjadi tidak selamat kerana DAP bertanding di kawasan majoriti kaum Cina.
“Mereka doktrin Dr. Mahathir kepada kebanyakan kaum Cina yang mengundi ini dengan pelbagai gelaran keji dan hina sewaktu beliau menjadi Perdana Menteri dulu.
“Jadi belum tentu Dr. Mahathir ‘selamat’ untuk menang apabila bertanding di kubu kuat DAP,’’ katanya – Utusan