PAS nak berhibur di Wisma Tok Guru, AMANAH lapor polis kabarmalay3.blogspot.com


Parti Amanah Negara (AMANAH) Kelantan membuat laporan polis berhubung program PAS yang akan berlangsung malam ini di Wisma Tok Guru, Salor yang didakwa melanggar perintah mahkamah.
Pengerusi AMANAH kawasan Kubang Kerian, Fauzi Muhamad berkata, PAS diingatkan agar mematuhi perintah injunksi erinford yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Kota Bharu, berhubung kemelut pertikaian antara Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor, Datuk Husam Musa dan Mohd Yasin Yusoff dalam isu hartanah melibat premis tersebut.
Menurutnya, ia berikutan penganjuran sebuah konsert hiburan oleh Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kelantan dan Majlis Tindakan Dun Salor yang akan diadakan bertempat di Wisma Tok Guru, malam ini.
"Tindakan PAS melanggar perintah injunksi Erinford oleh Mahkamah Tinggi Kota Bharu ini amat dikesali dan ia disifatkan sebagai suatu lagi cubaan provokasi melampau.
"Ia berlaku selepas sebelum ini pihak PAS telah memasang papan tanda yang melarang sebarang aktiviti dijalankan di atas hartanah yang masih dalam pertikaian di mahkamah," katanya kepada Malaysiakini, hari ini selepas membuat laporan polis di Balai Polis Kubang Kerian, Kota Bharu.
Terdahulu, PAS merancang program Hiburan Alternatif yang akan menampilkan persembahan dikir barat dan acara cabutan bertuah.
Isu Wisma Tok Guru yang dijadikan Pusat Khidmat ADUN Salor menarik perhatian ramai selepas pemilik asal hartanah itu menjual tiga lot tanah kepada Mohd Yasin yang juga setiausaha kerja PAS Kelantan.
Tanah itu asalnya dibeli bekas ADUN Salor, Allahryarham Datuk Ahmad Rosli Ibrahim dan menamakan isterinya sebagai pemilik.
Namun baru-baru ini tanah berkenaan dijual kepada Mohd Yasin pada harga RM700,000.
Husam bagaimanapun berjaya mendapatkan perintah injuksi 'Erinford' sekali gus membolehkan beliau menggunakan hartanah tersebut seperti sebelum ini sementara keputusan akhir kes pertikaian itu dibuat.
Sementara itu, difahamkan Husam melalui peguamnya telah menghantar notis peringatan kepada pihak peguam Mohd Yasin agar mematuhi perintah injunksi Erinford tersebut.
Namun, difahamkan juga program yang dirancang PAS itu tetap bakal berlangsung seperti dijadualkan. - MK

Subscribe to receive free email updates: