KEKECOHAN di dunia siber berhubung penyebaran video pesta arak membabitkan sebilangan peserta Dewi Remaja 2018/2019 menyebabkan penganjur pertandingan itu sedang memikirkan bentuk tindakan yang perlu diambil.
Nu Ideaktif selaku penganjur menjelaskan pihak mereka sedang menjalankan siasatan berkaitan isu berkenaan selepas ia menjadi perdebatan hangat netizen termasuklah mempertikaikan kredebiliti juara pertandingan itu, Haneesya Hanee selepas video berkenaan tersebar Isnin lalu.
Dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Instagram Majalah Remaja, pihaknya akan mengeluarkan kenyataan dalam masa terdekat.
Video di sebuah kelab malam dipercayai Haneesya bersama beberapa peserta Dewi Remaja 2018/2019 tersebar di Internet.
"Selaku pemilik jenama Dewi Remaja. Nu Ideakti memandang serius terhadap video yang didakwa melibatkan peserta-peserta Dewi Remaja 2018/2019.
"Perkara ini dalam siasatan kami dan tindakan sewajarnya akan diambil," menurut satu kenyataan yang dimuat naik pada Rabu.
Pada Isnin lalu, video kononnya mirip beberapa peserta termasuk juara program tersebut iaitu Haneesya Hanee sedang berhibur di sebuah kelab malam tersebar di internet.
Rata-rata netizen meminta pihak penganjur mengambil tindakan tegas dan tidak berdiam diri biarpun program tersebut sudah berakhir.
Kenyataan pihak penganjur pada Rabu.
Menerusi ruangan komen, netizen turut mendesak gelaran juara yang diberikan kepada pemenangnya ditarik balik berikutan dirasakan tidak memberi contoh yang baik kepada masyarakat.
"Tolong lakukan sesuatu dan jangan berdiam diri dalam hal ini. Kita mahu beri pendidikan dan contoh sikap yang baik kepada generasi baru. Tarik balik gelaran kerana merosakkan imej Dewi Remaja yang menjadi ikon selama ini," ujar netizen.
Malam kemuncak pertandingan itu diadakan pada Ahad lalu dan ia disiarkan di Astro Ria.