Mahfuz Beri Keterangan Dakwaan Beliau "Menghina" Sultan Pahang ! kabarmalay3.blogspot.com

ALOR SETAR: Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar hari ini hadir di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah bagi memberi keterangan berhubung dakwaan menghina Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah dalam satu ceramah politik.
Mahfuz tiba bersama peguamnya Mohd Fikri Abd Rahman bersama beberapa penyokong pada pukul 10.15 pagi sebelum memasuki perkarangan IPK Kedah pada pukul 10.30 pagi.
Terdahulu, Mahfuz menyatakan kesediaannya untuk memberi keterangan dan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis berhubung laporan polis yang dibuat di Pahang.
“Saya hadir bagi memberi penjelasan sewajarnya dan di sini ingin dinyatakan saya tidak berniat menimbulkan kemurkaan pihak istana kerana kenyataan dibuat sebelum ini bukan bertujuan untuk menghina sesiapa.
“Sekiranya kenyataan itu menyinggung pihak Istana Pahang, saya mohon maaf. Tetapi kalau dengar semula ucapan saya, apa saya timbulkan ialah isu faktor umur bukan menjadi penghalang kepada seseorang untuk menjadi pemimpin atau ketua,” katanya.
Semalam, Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menzahirkan rasa kesal dengan tindakan Mahfuz yang memperlekehkan Sultan Pahang dalam ceramah politiknya dan menganggap Mahfuz melanggar tatatertib Melayu.
Baru-baru ini, tersebar klip video ceramah Mahfuz bersama Pakatan Harapan mengulas kewajaran Tun Dr Mahathir berusia 92 tahun dipilih sebagai calon perdana menteri dan membandingkannya dengan Sultan Ahmad Shah yang kekal sebagai Sultan Pahang walaupun sudah gering.
Berikutan itu, banyak pihak membuat laporan polis berhubung tindakan Mahfuz.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah SAC Mior Farid Al Atrash Wahid dalam satu kenyataan memaklumkan siasatan akan dijalankan bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233(1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998).
“Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah membantu merakam percakapan Mahfuz ekoran siasatan sedang dijalankan JSJ Pahang. Laporan polis dibuat terhadap Mahfuz yang mempersendakan Sultan Pahang dalam satu rakaman video,” katanya. #sumber

Subscribe to receive free email updates: