Oleh Shuhaniza Said
SHAH ALAM: Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) menafikan menerima 'arahan' daripada pihak tertentu untuk menyekat program Himpunan Fastaqim 2.4 anjuran PAS apabila tidak membenarkan acara itu diadakan di Stadium Tertutup Kuala Selangor, Ahad ini.
Sebaliknya menurut Pengarah Jabatan Perancangan Pembangunannya, Mohamad Yusli Askandar, stadium berkenaan sedang dalam proses baik pulih (renovation) dan tidak sesuai digunakan untuk acara berskala besar seperti program anjuran PAS itu.
"Tiada isu (politik). Kalau anda pergi ke stadium pun, kita sedang buat kerja penyelenggaraan di sana, memang tidak sesuai untuk digunakan sebab kita buat persiapan untuk pilihan raya.
"(Program) skala besar memang tidak sesuai. Memang ada renovasi. Tandas pun hanya satu saja yang boleh digunakan. Kalau anda tidak percaya, boleh pergi ke stadium. Memang kerja-kerja (baik pulih) sedang berjalan," katanya kepada Antarapos.
Terdahulu, sebuah akhbar melaporkan kerajaan negeri pimpinan PKR dikatakan menyekat program anjuran PAS apabila tidak membenarkannya diadakan di Stadium Tertutup Kuala Selangor.
Menurut Pengarah Pilihan Raya PAS Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir yang dipetik akhbar itu, pihaknya menerima makluman daripada MDKS kelmarin, dengan alasan stadium tersebut akan digunakan untuk acara lain.
Ujar Roslan Shahir, berdasarkan atur cara dirangka pihaknya, program itu dijadual dirasmikan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang akan turut melancarkan jentera pilihan raya PAS peringkat negeri untuk Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Beliau bagaimanapun enggan membuat spekulasi sama ada keputusan MDKS itu mempunyai kaitan dengan pendirian politik terkini PAS Selangor yang akan meletakkan calon di 20 kerusi Parlimen dan 42 kerusi DUN di negeri ini sekaligus menentang Pakatan Harapan (PH).
Sementara itu seorang sumber dalaman MDKS yang enggan dinamakan, turut menolak keputusan itu mempunyai kaitan dengan perkembangan politik antara PAS dengan PKR kebelakangan ini.
Tambahnya, alasan penolakan sesuatu permohonan lazimnya hanya mempunyai kaitan dengan keadaan stadium ataupun pertindihan dengan permohonan lain.
"Saya tak pasti tentang 'arahan' pihak tertentu atau sebagainya. Malah sebelum ini Umno nak gunakan stadium untuk program mereka pada bulan lalu, tiada masalah.
"Kita memang tiada masalah asalkan penganjur bayar sewa, jaga kebersihan, jalanlah. Lagipun ia memang untuk kegunaan orang ramai," katanya.