KUANTAN: Pelabuhan Kuantan bakal menjadi “Port of Choice” sekali gus sebagai hab logistik kepada negara ASEAN dan rantau Asia Pasifik dengan pembesaran kawasannya yang dijangka siap sepenuhnya menjelang tahun 2020.
Pengurus Pemasaran dan Komunikasi Korporat Kuantan Port Consortium Sdn Bhd (KPC) , Alimi Ibrahim berkata, projek bernilai lebih RM4 bilion itu menerima maklum balas positif dan akan menjadi tumpuan utama kepada pelabur dalam dan luar negara.
Menurutnya, pembesaran kawasan pelabuhan itu terbahagi kepada dua fasa yang akan disiapkan secara berperingkat.
Katanya, fasa 1A sepanjang 400 meter dijangka siap pada suku kedua tahun ini manakala fasa 1A sepanjang 600 meter pula dijangka siap pada suku kedua tahun hadapan.
“Manakala bagi fasa 2 pula bergantung kepada permintaan kargo pada masa hadapan dan semua projek yang terlibat di sini mengaplikasikan teknologi mesra alam dalam pembinaannya antaranya pembinaan ‘Dust Suppression Barrier’ dengan ketinggian 13 meter.
"Pertambahan keluasan pelabuhan ini adalah projek perkongsian awam-swasta oleh kerajaan melalui Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) membabitkan pembinaan pemecah ombak sepanjang 4.67 kilometer," katanya dalam satu kenyataan di sini.
Sementara itu, katanya, projek berkenaan turut menaik taraf kemudahan bekalan air bagi menampung peningkatan permintaan air di kawasan pelabuhan yang dijangka siap pada pertengahan tahun ini.
“Bagi penambahbaikkan infrastruktur jalan raya dari Pelabuhan Kuantan ke Lebuhraya Pantai Timur (LPT) pula ia dijangka siap pada suku ketiga tahun hadapan.
"Pada masa sama, pelabuhan itu juga sudah menerima kelulusan dasar daripada Kementerian Kewangan untuk menubuhkan pelabuhan Zon Bebas, setakat ini kerja-kerja pembangunan sedang giat dilaksanakan dan kita akan beroperasi sebagai pelabuhan zon bebas menjelang hujung tahun ini.
"Status zon bebas ini memberikan kelebihan kepada Pelabuhan Kuantan untuk menembusi pasaran baharu dalam sektor pemindahan (transhipment) berbanding ketika ini hanya membabitkan sektor import dan eksport sahaja," katanya. #sumber