PPBM kaji penalti RM20 juta elak wakil rakyat lompat parti kabarmalay3.blogspot.com

 
Ahli Majlis Tertinggi, Tariq Ismail berkata, langkah itu juga boleh melindungi PH jika mereka memenangi PRU14.


tariq-ppbm

PETALING JAYA: PPBM sedang mengkaji rancangan membuat kontrak untuk mengikat calon mereka daripada melompat parti selepas menang pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Ahli Majlis Tertingginya, Tariq Ismail berkata, langkah itu juga boleh melindungi Pakatan Harapan (PH) jika mereka memenangi PRU14.

“Kita tidak mahu mereka yang dipilih di bawah gabungan kita melompat ke Barisan Nasional (BN), tidak kira kita menang atau kalah dalam PRU,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, ada kemungkinan ahli Parlimen PH ditawarkan wang untuk melompat parti.

“Sebab itu mereka dicadangkan menandatangani kontrak yang mengenakan syarat jika mereka lompat parti, mereka perlu membayar penalti.”

Tariq berkata, parti itu bercadang mengenakan penalti RM20 juta.

Sekiranya diluluskan, katanya, PPBM akan mendapatkan nasihat peguamnya untuk menentukan sama ada jumlah itu munasabah.

Difahamkan, PKR mempunyai kontrak serupa yang perlu ditandatangani calonnya pada PRU 2013, di mana ahli yang melanggar kontrak mesti membayar sejumlah pampasan kepada parti.

PAS turut menggunakan kaedah sama untuk memastikan wakil rakyatnya setia bersama parti, termasuk di Kelantan dimenanginya dengan hanya majoriti 3 kerusi pada PRU 2004.

Lafaz taklik dan sumpah bai’ah yang wajib dilafazkan calon PAS di Kelantan pada PRU antara lain menghendaki mereka yang memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri atau Parlimen kekal dengan parti itu atau jatuh talak tiga dengan isteri.

Ia diperkenalkan ketika PAS bersama Semangat 46 dalam Angkatan Perpaduan Ummah pada 1995 apabila kerajaan Kelantan berdepan cabaran ekoran tindakan beberapa wakil rakyat melompat parti.

Antara calonnya yang didakwa melanggar bai’ah ialah Adun Salor, Datuk Husam Musa yang kini naib presiden Amanah, Datuk Kamarudin Jaafar (PKR-Tumpat), Dr Hatta Ramli (Amanah-Kuala Krai) dan Datuk Ibrahim Ali yang bertanding atas tiket PAS di Pasir Mas pada 2008 sebelum mengisytiharkan dirinya tidak berparti.

Subscribe to receive free email updates: