PETALING JAYA: Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar hari ini menafikan beliau menghina dan memperlekehkan Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah Sultan Abu Bakar dalam ceramah politiknya.
Mahfuz menyeru pengkritik mengamati ucapannya yang ditularkan baru-baru ini kerana ucapannya itu untuk mematahkan hujah Umno yang bertegas seseorang yang berusia tidak layak memimpin.
“Saya hanya membangkitkan isu ekoran daripada pemimpin Umno mempersoalkan usia Tun Dr Mahathir Mohamad yang tidak melayakkan dia menjadi perdana menteri,” katanya ketika dihubungi FMT.
Dr Mahathir kini berusia 93 tahun dan diangkat Pakatan Harapan sebagai calon perdana menteri mereka untuk pilihan raya umum ke-14.
“Saya hanya memberikan pandngan bahawa usia bukan penghalang seseorang menjadi pemimpin, dengan mengambil contoh Sultan Pahang. Tuanku dalam keadaan yang uzur tapi masih mampu menjadi sultan,” katanya.
Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah hari ini kesal dengan tindakan Mahfuz yang didakwa menghina dan memperlekehkan Sultan Pahang, selepas satu klip video ceramahnya tular di media sosial.
Semalam, Gabungan Anak Daerah-daerah Pahang membuat laporan polis terhdap Mahfuz.
Dalam ceramah tersebut, Mahfuz antara lain membandingkan Dr Mahathir, yang pernah menjadi perdana menteri dari 1981 hingga 2003, kepada Sultan Ahmad Shah, 87, yang memerintah Pahang sejak 1974.
Mahfuz menegaskan melalui perbandingan itu, beliau menyeru rakyat tidak terlalu menekankan usia seseorang tetapi memanfaatkan keupayaan akal fikiran dan ilmu kepimpinan seorang pemimpin seperti Dr Mahathir dan Sultan Pahang.
“Saya minta maaf kalau itu yang menimbulkan kemurkaan Pemangku Raja Pahang,” katanya.
Ditanya mengenai laporan polis terhadapnya, Mahfuz menghormati hak mereka membuat laporan polis.
“Kebanyakan mereka yang membuat laporan polis itu saya percaya didalangi oleh kepentingan politik Umno. Itu yang saya katakan Pemuda UMNO itu walaupun muda tapi ‘nyanyuk’. Mereka tak dapat nak menilai apa yang saya ucapkan,” katanya. #sumber