BERSIH dakwa SPR 'asak' persempadanan sebelum PRU14 kabarmalay3.blogspot.com

DETIK DAILY



Gabungan untuk pilihan raya bersih dan adil (BERSIH) hari ini mendakwa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) 'mengasak' proses persempadanan semula dilakukan sebelum pilihan raya umum, walau pun memiliki banyak masa untuk menyiapkannya.

Dalam suatu kenyataan, pengerusi BERSIH Maria Chin Abdullah memetik tempoh waktu kes-kes SPR di mahkamah sebagai contoh.

"Pada 7 Disember 2017, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak kes (persempadanan semula) Selangor, tetapi perintah penangguhan sehinggalah rayuan diputuskan telah diberikan. Pada 18 Disember 2017, SPR merayu kepada Mahkamah Rayuan terhadap perintah penangguhan itu dan berjaya dalam rayuannya.

"Di antara 27 Disember 2017 dan 9 Januari 2018, SPR mengadakan dua siasatan tempatan dan pada 15 Januari menerbitkan sempadan baru kawasan pilihanraya bagi pameran semakan awam.

"Kesemua ini dilakukan dalam masa sebulan, walaupun SPR memiliki masa sehingga bulan September 2018 bagi menyiapkan proses tersebut. Sangat jelas mereka mahu ia diluluskan sebelum pilihan raya umum," kata beliau.



Maria menambah analisis awal BERSIH mendapati SPR telah menarik balik beberapa cadangan yang disyorkan dalam pameran semakan awam kali pertama, tanpa membetulkan isu-isu amalan persempadanan semula yang menguntungkan parti pemerintah seperti malapportionment (salah bahagi nisbah kawasan pilihan raya yang tidak sama rata) dan gerimander (manipulasi sempadan daerah mengundi).

"Kadar salah bahagi (kerusi yang tidak sama rata) itu masih sangat tinggi pada cadangan persempadanan semula untuk semakan awam yang kedua ini. Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) paling besar ialah Seri Serdang dengan 74,563 pengundi, manakala kerusi DUN paling kecil Sungai Air Tawar dengan 15,033 pengundi.

"Kerusi parlimen paling besar Kapar memiliki 146,317 pengundi, sementara kawasan parlimen paling kecil Sabak Bernam, memiliki seramai 37,126 pengundi. Perbezaan sebanyak empat kali ganda," katanya.

Beliau menggesa para pengundi Selangor membantah cadangan persempadanan semula yang sedang dipamerkan kali kedua untuk semakan awam.

Subscribe to receive free email updates: