BAGAN DATUK: Keputusan DAP meletakkan calon Melayu bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) sudah dijangka, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata langkah itu untuk menarik undi orang Melayu kerana DAP sedar orang Melayu menolak parti cauvinis itu.
“Tentunya meletakkan seorang pakar undang-undang (dari DAP) tetapi bertanding menggunakan lambang parti lain satu pengesahan dan agenda mereka kini terserlah.
“Yang akan menjadi mangsa adalah PPBM, Amanah dan PKR sendiri kerana sudah hampir pasti kawasan ditandingi DAP diletakkan calon Melayu bertujuan mencari tokoh yang dihajati bagi mengetuai kerajaan negeri,” katanya pada sidang media hari ini.
Rancangan melantik tokoh Melayu itu dijangka dilaksanakan jika pembangkang menguasai negeri ini.
Ahmad Zahid mengulas tindakan DAP meletakkan Prof Dr Abdul Aziz Bari untuk bertanding di DUN Tebing Tinggi sebagaimana diumumkan penyandang kerusi DUN itu, Ong Boon Piow baru-baru ini.
Sebelum ini, Ahmad Zahid membuat jangkaan DAP tidak akan menggunakan lambang parti sebaliknya lambang PKR dalam PRU14.
“Telahan ini jadi benar dan ia bertujuan tarik pengundi Melayu untuk undi calon mereka,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata penduduk di Teluk Intan boleh menilai sendiri perkhidmatan dan pembangunan yang dilakukan Datuk Seri Mah Siew Keong sepanjang menjadi ahli Parlimen kawasan itu.
Ahmad Zahid disoal pemberita berhubung tindakan Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming untuk bertanding di Parlimen Teluk Intan menentang Mah yang menang kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 2014.
“Siapa pun mewakili DAP, mereka terdiri daripada calon nomad hampir setiap kali PRU seperti mana keberadaan ahli Parlimen Taiping (Nga Kor Ming) menawarkan diri untuk bertanding di Parlimen Teluk Intan.
“Mereka tahu Mah Siew Keong anak tempatan dan beri banyak perkhidmatan kepada masyarakat dan membawa pembangunan.
“Bukan itu saja beliau juga menteri (Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi) yang mempunyai prestasi terbaik,” katanya.
Pada PRK 2014, Mah menewaskan calon DAP, Dyana Sofya Mohd Daud, dengan majoriti 238 undi.
Mah turut bertanding kerusi sama pada PRU13 namun tewas kepada calon DAP, Seah Leong Peng, yang memperoleh majoriti 7,313 undi. #sumber