KUANTAN: Desas desus mengenai "calon luar" akan sekali lagi bertanding di kerusi Parlimen P.082 Indera Mahkota kini kecoh kedengaran. Ia sedikit merencatkan gerak kerja dan percaturan Barisan Nasional (BN) bahagian itu pada pilihan raya umum kali ini.
Sebelum ini sudah dua kali, calon luar bertanding di kerusi parlimen tersebut iaitu pada PRU11 (2004) dan PRU13 (2013). Kedua-duanya ditandingi oleh Dato' Wan Adnan Wan Mamat (Ketua UMNO Bahagian Kuantan).
Wan Adnan menang bergaya pada PRU11 menewaskan calon PKR Allahyarham Dzulkifli Ismail dengan majoriti 14,299 undi. Beliau mendapat 25,177 undi, sementara Dzulkifli mendapat 10,948 undi.
Pada PRU12, kerusi Parlimen Indera Mahkota dirampas oleh PKR yang mana calonnya Azan Ismail menewaskan Salamon Ali Rizal (BN) dengan majoriti tipis 1,027 undi. Azan mendapat 19,823 undi, sementara Salamon pula 18,796
Pada PRU13, Wan Adnan sekali lagi bertanding. Namun, beliau tewas kepada calon PKR yang juga mantan Ketua UMNO Bahagian Kuantan iaitu Dato' Fauzi Abdul Rahman. Fauzi menang pada pertandingan tiga penjuru dengan majoriti 7,523 undi menewaskan Wan Adnan dan calon bebas Ram Ponnusamy.
Fauzi mendapat 30,584 undi, Wan Adnan 23,061 undi dan Ram hanya mendapat 193 undi.
Difahamkan, PKR akan meletakkan bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah dan PAS pula akan meletakkan lawan Saifuddin yang menenangi kerusi Parlimen Temerloh Nasruddin Hassan Tantawi. Kedua-dua calon ini adalah calon popular yang mempunyai peranan besar terhadap parti masing-masing di peringkat pusat.
Justeru, ramai penyokong UMNO BN di Parlimen Indera Mahkota mahukan calon dari bahagian itu bertanding kali ini. Mereka tidak mahu calon "orang luar" sekali lagi jadi calon.
"Indera Mahkota ada peluang besar untuk menang dengan calon-calon yang telah merapati pengundi sejak lebih empat tahun lalu. Calon-calon dari bahagian Indera Mahkota sendiri lebih dikenali dengan latar belakang pendidikan yang sesuai dengan kepelbagaian pengundi", kata seorang penyokong kuat BN Indera Mahkota yang menghubungi PDO.
Tambahnya lagi, mereka sudah sering dengan calon dari luar. "Kita bina kembali, repair dam touch up hampir lima tahun rumah kita.. tapi akhirnya orang luar juga nak masuk. Tindakan menghantar calon luar ke Indera Mahkota adalah suicidal move sebenarnya ", tambahnya.
Difahamkan, tindakan menghantar calon Kuantan ke Indera Mahkota mungkin berlaku sekiranya benar kerusi Parlimen P.083 Kuantan ditandingi oleh calon MCA pada PRU14 ini.
Ada laporan mengatakan ada pihak yang akan menghantar memo kepada pucuk pimpinan tertinggi parti bagi membantah tindakan tersebut dalam masa terdekat ini. BN harus berhati-hati membuat keputusan agar peluang merampas kerusi Indera Mahkota tidak "terkubur" begitu sahaja akibat kesilapan membuat keputusan. #PDO