KUANTAN: Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuantan, Datuk Seri Ab. Hamid Nazahar kini diwar-warkan akan mewakili BN untuk bertanding di kerusi Parlimen Indera Mahkota pada PRU14 ini.
"Khabar angin" bertiup kencang, nama beliau kini turut berada dalam senarai calon, susulan tindakan pucuk pimpinan parti memberi laluan kepada MCA untuk bertanding di kerusi Parlimen Kuantan.
Berita ini walau pun tidak digemari oleh ahli akar umbi UMNO Indera Mahkota, namun ia bukanlah sesuatu yang baharu sekiranya beliau bertanding di kerusi itu. Tambahan pula Indera Mahkota dahlulunya berada dalam Parlimen Kuantan.
Malah, Sebelum ini sudah dua kali, calon luar bertanding di kerusi parlimen tersebut iaitu pada PRU11 (2004) dan PRU13 (2013). Kedua-duanya ditandingi oleh Dato' Wan Adnan Wan Mamat (Ketua UMNO Bahagian Kuantan).
Wan Adnan menang bergaya pada PRU11 menewaskan calon PKR Allahyarham Dzulkifli Ismail dengan majoriti 14,299 undi. Beliau mendapat 25,177 undi, sementara Dzulkifli mendapat 10,948 undi.
Pada PRU12, kerusi Parlimen Indera Mahkota dirampas oleh PKR yang mana calonnya Azan Ismail menewaskan Salamon Ali Rizal (BN) dengan majoriti tipis 1,027 undi. Azan mendapat 19,823 undi, sementara Salamon pula 18,796
Pada PRU13, Wan Adnan sekali lagi bertanding. Namun, beliau tewas kepada calon PKR yang juga mantan Ketua UMNO Bahagian Kuantan iaitu Dato' Fauzi Abdul Rahman. Fauzi menang pada pertandingan tiga penjuru dengan majoriti 7,523 undi menewaskan Wan Adnan dan calon bebas Ram Ponnusamy.
Fauzi mendapat 30,584 undi, Wan Adnan 23,061 undi dan Ram hanya mendapat 193 undi.
Jika benar Datuk Seri Ab. Hamid Nazahar terpilih sebagai calon di kerusi parlimen itu maka ia memberi sedikit kekuatan kepada BN untuk menentang dua calon popular pembangkang iaitu Ustaz Nasruddin Hassan Tantawi (PAS) dan Datuk Saifuddin Abdullah (PKR) pada PRU13 ini.
Tambahan pula beliau penerima Anugerah Khas Pemuda UMNO Malaysia 2017 dan merupakan bekas Penolong Bendahari Pemuda UMNO. Apa pun keputusannya, nantikan pengumuman rasmi yang akan dibuat oleh BN sebelum hari pencalonan PRU-14 ini. #PDO