KUANTAN: Sepasang suami isteri berusia 57 dan 52 tahun ditahan di sekitar bandar ini semalam kerana mengeluarkan wang simpanan milik seorang jiran mereka tanpa kebenaran berjumlah RM52,000 sejak tahun lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintenden Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, mangsa seorang pembantu restoran itu pada mulanya meminta jirannya yang dikenali sebagai Kak Pah untuk memeriksa baki di dalam akaun simpanannya.
“Mangsa seorang wanita berusia 41 tahun kemudian menyerahkan kad pengeluaran wang automatik Bank Simpanan Nasional (BSN) miliknya kepada Kak Pah untuk tujuan berkenaan pada 25 Mei lalu.
“Bagaimanapun, suspek tidak memulangkan kad berkenaan walaupun beberapa kali mangsa memintanya sehingga wanita itu merujuk bank berkenaan untuk memeriksa baki simpanan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Mohd. Wazir, suspek hanya memberi mangsa sebanyak RM50 sebulan sedangkan wang simpanannya hilang sebanyak RM52,000. #sumber