Rosmah Mansor; Rakyat Perlulah Berbangga Punyai Kerajaan Yang Iktiraf Wanita kabarmalay3.blogspot.com


KUALA LUMPUR: Isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor berkata rakyat perlu  berbangga kerana mempunyai kerajaan yang mengiktiraf wanita selaku rakan pembangunan negara dengan pencapaian dari segi tenaga kerja kini pada 52 peratus.

Beliau berkata  kerajaan di bawah pimpinan Barisan Nasional (BN) sentiasa peka dan prihatin dengan isu-isu berkaitan wanita dan tidak sekali-kali mengabaikan kaum  itu dalam merangka dasar-dasar pembangunannya.

"Kerajaan telah memainkan peranan yang amat signifikan dalam pembangunan, kemajuan serta pemerkasaan wanita. Pelbagai gerakan, inisiatif serta program telah digembleng untuk mengarusperdanakan wanita ke tahap yang lebih tinggi.

"Segala inisiatif yang dilaksanakan adalah bersifat inklusif. Ini terbukti dengan peningkatan akses kepada pendidikan, peluang pekerjaan dan perubahan sosioekonomi dalam kalangan wanita yang membolehkan wanita bergerak progresif dan berpeluang untuk menyumbang secara aktif kepada pembangunan negara," katanya ketika berucap pada majlis penutup program bicara ‘The Power of Knowledge’, di sini hari ini.

Rosmah yang juga Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri (BAKTI)  berkata Malaysia juga merupakan  satu-satunya negara di rantau ASEAN yang meletakkan sasaran sekurang-kurangnya 30 peratus wanita di peringkat pembuat keputusan dalam sektor awam dan korporat.

"Pada tahun 2016 negara telah berjaya melepasi sasaran dengan pencapaian sebanyak 35.8 peratus wanita di peringkat pengurusan tertinggi di sektor awam manakala sektor korporat pula hampir mencapai sasaran yang telah ditetapkan sebanyak 29.9 peratus," katanya.

Rosmah berkata dalam bidang pendidikan pula taraf pendidikan golongan wanita berada pada tahap yang membanggakan, misalnya menerusi enrolmen pelajar wanita di institusi pengajian tinggi awam pada 2015 telah mencapai sehingga 64 peratus.

Katanya pencapaian wanita dalam kepimpinan Malaysia tidak dapat disangkal sejak dahulu lagi dan sejarah telah menyaksikan keupayaan wanita dalam mentadbir sesebuah negara atau menjadi ketua  organisasi yang berpengaruh di beberapa negara maju di dunia.

"Di Malaysia, nama-nama besar seperti Tan Sri Aisyah Ghani, Ibu Zain dan Toh Puan Uma Sambathan merupakan antara tokoh-tokoh wanita yang menjadi pemimpin dan telah memberikan sumbangan yang tidak ternilai dalam usaha memartabatkan golongan wanita di negara ini.

"Kini, hasil kesinambungan perjuangan golongan wanita terdahulu maka muncul beberapa tokoh wanita hebat masa kini seperti Datuk Hazimah Zainuddin yang berjaya dalam bidang perniagaan minyak pelincir, Datuk Vivy Yusof yang mengungguli bidang fesyen dan dalam bidang sukan pula Dhabitah Sabri dan Farah Ann Abdul Hadi juga semakin menyinar," katanya.

Sementara itu, Rosmah berkata dalam sektor politik wanita sememangnya merupakan teras dan tulang belakang parti masing-masing, justeru mereka memainkan peranan yang cukup penting terutamanya semasa pilihan raya.

"Justeru, menjelang pilihan raya umum ke-14 ini,  bagi memastikan kemenangan berpihak kepada kerajaan BN, saya menyeru semua komponen wanita bersatu padu, membentuk kesepakatan dan solidariti, menyebarkan semangat perjuangan parti seterusnya memenuhi keperluan rakyat di peringkat akar umbi.

"Kesemua komponen diseru agar merangka program-program berbentuk muhibah dan berbilang kaum supaya tidak timbul prasangka buruk sesama kaum. Saya percaya transformasi menyeluruh ini mampu menjadikan BN parti yang terus dipercayai dan kekal relevan kepada komuniti dan kaum masing-masing terutamanya ketika berdepan dengan suasana politik yang mencabar," katanya.

Sementara itu,  Rosmah berkata program bicara ‘The Power of Knowledge’ amatlah bertepatan dilaksanakan kerana telah mengupas tajuk dan isu yang relevan untuk dibincangkan pada masa kini.

Katanya beliau berharap golongan wanita mendapat ilmu pengetahuan serta panduan yang membina selain dapat menjadikan program tersebut sebagai suntikan motivasi agar lebih bersemangat untuk memulakan sesuatu yang baharu. #sumber

Subscribe to receive free email updates: