BANGI: PAS enggan mendedakan jika Tan Sri Khalid Ibrahim akan bertanding di bawah tiket parti Islam itu pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
Ketua Pemuda PAS, Khalil Hadi berkata partinya akan membuat kejutan pada hari terakhir pengumuman calon parti itu di Kelantan, 25 April ini.
“(Khalid bertanding atas tiket PAS) itu akan terjawab di hari terakhir penamaan calon.
“Ada beberapa lagi antaranya di Kelantan dalam masa terdekat,” katanya selepas berucap di Forum Town Hall di Pusat Konvensyen Bangi, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada PAS akan memujuk Khalid untuk bertanding sebagai calonnya.
Pada PRU12, Khalid yang bertanding di bawah tiket PKR menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Tan Chai Ho dengan majoriti 2,515 undi di kerusi Parlimen Bandar Tun Razak.
Beliau berjaya mempertahankan kerusi itu pada PRU13 dengan majoriti besar 11,832 undi dalam pertandingan 4 penjuru antara BN, PKR dan 2 calon bebas.
Khalid yang merupakan ahli korporat terkemuka sebelum menceburi politik pada 2007 dipecat PKR pada 9 Ogos 2014 kerana mengingkari keputusan Majlis Pimpinan PKR yang sebulat suara memilih Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon menteri besar Selangor.
Khalil yang juga anak presiden PAS berkata, lebih penting ialah Khalid memberi komitmen terhadap perjuangan PAS dan Gagasan Sejahtera.
“Untuk makluman juga, Khalid esok akan bersama dalam pelancaran manifesto PAS dan ini tunjuk komitmen beliau bersama PAS dan Gagasan,” katanya. #sumber