JERANTUT - UMNO Bahagian Jerantut kecewa apabila gambar Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak pada papan iklan Barisan Nasional (BN) yang dipasang berhampiran kawasan kilang di sini disimbah cat hitam.
Setiausaha UMNO Bahagian, Ahmad Nizam Mohd Hassan berkata, pihaknya menyedari kejadian tersebut pagi tadi dan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah di sini pukul 3.30 petang tadi.
"Kami sangat kecewa apabila melihat cat hitam disimbah pada muka PM ketika kita sedang membuat persiapan untuk menepuhi Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei depan.
"Kejadian seperti ini tidak patut berlaku kerana semua parti politik yang bertanding harus bersikap lebih matang dan memelihara hak masing-masing," katanya pada sidang media hari ini.
Beliau memberitahu, pihaknya menggesa siasatan segera dilakukan bagi mengenalpasti individu yang melakukan perkara tersebut dan menyeru orang ramai yang melihat kejadian itu agar tampil bekerjasama dengan pihak polis. - K! ONLINE