KUANTAN: Ketua Pemuda UMNO Negeri Pahang, Mohd Shahar Abdullah dijangka tiada halangan untuk menjadi calon Barisan Nasional (BN) untuk bertanding di kerusi Parlimen Paya Besar pada PRU14 ini.
Biar pun pengumuman rasmi belum di buat, namun berdasarkan kepada situasi semasa nama beliau dilihat berpotensi untuk diketengahkan bagi mewakili generasi muda.
Shahar, yang juga merupakan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Paya Besar dilihat calon terbaik untuk menggantikan Allahyarham Datuk Seri Abdul Manan Ismail yang meninggal dunia pada Februari lalu.
Beliau yang merupakan anak peneroka Felda Panching Selatan itu dijangka tidak mempunyai halangan untuk mempertahankan kerusi Parlimen Paya Besar yang merupakan kubu kuat BN selama ini.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), Abdul Manan yang juga Ketua UMNO Bahagian Paya Besar, menang dengan majoriti 7,715 undi.
Beliau menewaskan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Murnie Hidayah Anuar dan calon Bebas, Zahari Mamat. #PDO