Mungkin terlalu awal untuk membuat ramalan tentang keputusan pilihan raya umum (PRU) ke-14 tetapi tanda-tanda kegelisahan rakyat semakin jelas dirasai. Dan ia bukan semata-mata kerana ramainya orang Melayu menghadiri ceramah-ceramah Pakatan Harapan (HARAPAN).
Dalam dunia media sosial, di kalangan orang Melayu yang biasanya bertumpu kepada hal-hal sosial, hiburan dan agama, kini ia dipenuhi dengan komen-komen politik.
Isinya agak mengejutkan. Walaupun masih ada yang sarat dengan momokan kaum dan agama, banyak juga yang menyuarakan hasrat untuk mengubah kerajaan. Penghuni alam media sosial Melayu seperti sudah tidak takut lagi untuk menyatakan pendirian politik mereka secara terbuka.
Apakah ini fenomena baru? Atau sesuatu yang memang terbuku sejak sekian lama di sanubari rakyat, khususnya orang Melayu?
Keangkuhan BN
Sehingga awal tahun ini, pendirian warga media sosial Melayu tidak begitu ketara. Di dunia nyata pula, jumlah kehadiran Melayu di ceramah-ceramah HARAPAN, terutamanya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad, sepanjang tahun lalu dan awal tahun ini kurang memberangsangkan.
Walaupun mandom di pihak pembangkang, BN seperti tidak pandai mengambil kesempatan itu. Sebaliknya, yang ditonjolkan adalah keangkuhan pimpinan UMNO. Mereka dilihat mendabik dada penuh yakin akan terus memerintah negara, malah mungkin seribu tahun lagi.
Daripada isu-isu seperti Datuk Seri Najib Razak tidak lagi makan nasi tetapi menikmati makanan mahal seperti quinoa, ia melarat kepada gaya dan sikap perdana menteri sementara itu yang dilihat sebagai pembuli.
Cara Najib memperkecilkan Dr Mahathir tidak selembut atau setajam sindiran beralaskan budaya Melayu lama tetapi lebih bersifat 'menganjing'. Usia 93 tahun Dr Mahathir dijadikan bahan jenaka Najib.
Pada Januari lalu di hadapan perhimpunan pesara polis di ibu kota, dia mengutuk tanpa berani menyebut nama orang yang dikecamnya: “Jangan pula jadi macam seorang tu. Umur dah 93 tahun, tidak mahu bersara. Dia dah melalutlah tu.”
Di Parlimen pada bulan lalu pula, apabila Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali bertanya tentang skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berhubung hutang negara, Najib tidak berani menjawab soalan itu. Yang dilafazkannya adalah: “Saya nak tegaskan bahawa kemelut air di Selangor lebih kritikal.”
Kutuk dari jauh
Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng juga menjadi sasaran ejekannya. Apabila HARAPAN memperkenalkan manifesto PRU 2018, Najib menyindir mengatakan jika cadangan tempoh dua penggal dihadkan bagi perdana menteri dan menteri besar serta ketua menteri, Guan Eng patut berhenti serta-merta jika HARAPAN menang. Sindir beliau, "Saya ucapkan selamat bersara kepada Saudara Lim Guan Eng."
Pada awal bulan ini, di hadapan perhimpunan pesilat di Gombak, Selangor, Najib lantang bersuara: “Jangan main-main dengan pendekar Bugis. Siapa yang nak mencarik-carik maruah orang Bugis, tunggu balasannya nanti.”
Kata-kata itu menjadi bahan ketawa di kalangan orang Melayu. Mereka merasakan keberaniannya sebagai pendekar Bugis hanya terhad kepada perangainya yang suka mengutuk pemimpin pembangkang dari jauh dengan menggunakan media yang dikawal kerajaannya sendiri.
Sedangkan berkali-kali Dr Mahathir mengajak Najib berdebat tentang hal-hal nasional tetapi hanya “krik, krik, krik” yang kedengaran.
Sikap seperti itu menyebabkan semakin ramai orang Melayu bersimpati dengan Dr Mahathir.
Awal bulan ini, apabila Tengku Mahkota Johor menyuarakan pandangan kritikalnya terhadap Dr Mahathir di laman sosial milik pasukan bola sepak Johor Darul Takzim, tiada siapa menyangka berbelas ribu komen serta puluhan ribu share di Facebook tampil membela bekas perdana menteri itu.
Sedangkan sebelum itu apabila TMJ mengkritik Datuk Seri Nazri Aziz, ramai yang menyokong putera raja itu berbanding menteri sementara tersebut yang terkenal dengan keceluparan mulutnya itu.
Ia bukan soal siapa benar atau salah tetapi fenomena media sosial itu mencerminkan gambaran isi hati orang Melayu masa kini.
Dosa politik lampau
Mungkin kerana mereka teruja dengan aura dan karisma Dr Mahathir. Malah, mungkin kerana mereka tertarik dengan HARAPAN - bukan kerana sukakan sangat pembangkang tetapi disebabkan tidak tahan lagi dengan keangkuhan kuasa pimpinan sekarang.
Tekanan ekonomi masa kini pula bukan sahaja menyakitkan hati orang Melayu (dan rakyat Malaysia amnya) tetapi ia juga membebankan kewangan keluarga mereka; sedangkan kebanyakan mereka merupakan pengundi setia Umno-BN sebelum ini.
Kini tidak mudah lagi bagi Umno dan konco-konconya untuk memomokkan orang Melayu dengan fitnah terhadap HARAPAN, terutamanya dengan membawa berita palsu tentang DAP berhubung hal-hal agama dan kaum.
Apa tidaknya, ada antara penyebar fitnah itu kini sudah menyertai BERSATU. Ada pula yang membuat pengakuan terbuka dalam ceramah serta di media sosial tentang dosa politik lampau mereka.
Malah ada antara mereka kini membela DAP dengan menjelaskan kebenaran perjuangan parti sosial demokratik itu kepada masyarakat Melayu.
Apabila semakin ramai orang Melayu ramah dengan Dr Mahathir, selesa dengan PPBM dan Pakatan Harapan, serta tidak lagi geli-geleman dengan DAP, ia menjadi petanda perubahan di kalangan orang Melayu.
Nampaknya memang benarlah orang Melayu sudah kurang rasa takut mereka, dan kini semakin berani bersuara.
WAN HAMIDI HAMID seorang penulis, pemerhati politik dan penggemar muzik.
Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi CG