PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menarik balik permohonan mendapatkan kebenaran memulakan cabaran dari segi perlembagaan bagi membatalkan satu peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan, yang membenarkan rang undang-undang menjadi undang-undang selepas 30 hari, walaupun tidak mendapat perkenan yang di-Pertuan Agong.
Ketua Hakim Negara Tun Raus Sharif, yang mengendalikan perkara itu kemudian mengetepikan permohonan berkenaan dengan memberi kebebasan untuk memfailkannya semula.
Peguam Datuk Seri Gopal Sri Ram, yang mewakili Anwar, memohon menarik balik permohonan itu dengan kebebasan untuk memfailkannya semula.
Katanya, permohonan itu ditarik balik sementara menunggu keputusan rayuan di Mahkamah Persekutuan berhubung saman Anwar yang mencabar pelaksanaan Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2016.
Anwar, 70, sedang menjalani hukuman penjara lima tahun di Penjara Sungai Buloh, Selangor kerana kesalahan liwat. #sumber